Maritim Malaysia intai teknologi AI, perkukuh keselamatan perairan negara

SHAH ALAM - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) memanfaatkan penganjuran Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA'25) untuk meninjau potensi penggunaan teknologi moden bagi memperkukuh kawalan keselamatan perairan negara.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, pendekatan tersebut merupakan sebahagian daripada langkah reformasi operasi agensi yang semakin mencabar dalam menghadapi ancaman jenayah rentas sempadan yang lebih kompleks.
"Maritim Malaysia melihat keperluan untuk meneroka teknologi baharu seperti kecerdasan buatan, analisis data masa nyata serta sistem pemantauan pintar bagi mempertingkat kecekapan pemantauan dan respons terhadap insiden di laut," katanya.

Beliau berkata, LIMA 2025 menjadi medan penting untuk Maritim Malaysia mengenal pasti peluang kerjasama strategik serta teknologi yang boleh disesuaikan dengan keperluan operasi semasa.
"Maritim Malaysia turut mengalu-alukan sebarang bentuk jalinan kerjasama baharu dengan rakan strategik, sama ada dari dalam mahupun di peringkat antarabangsa.
"Maritim Malaysia juga ingin memastikan aset, sistem dan keupayaan operasi kekal relevan dan efektif dalam mendepani cabaran semasa serta pada masa akan datang," ujarnya.
Menurut beliau, teknologi bukanlah pengganti kepada kecekapan manusia, namun ia perlu dilihat sebagai pelengkap dalam memperkasa operasi Maritim Malaysia secara menyeluruh.
"AI boleh membantu dari segi membuat keputusan pantas, menjejak vesel nelayan asing (VNA), atau memberi amaran awal melalui pengesanan automatik," jelasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Maritim Malaysia juga dijangka mengadakan beberapa sesi perbincangan tertutup bersama rakan strategik dan agensi keselamatan antarabangsa sepanjang berlangsungnya LIMA 2025 bagi memperhalusi potensi kerjasama jangka panjang.
LIMA 2025 yang berlangsung di Langkawi dari 20 hingga 24 Mei ini menyaksikan penyertaan lebih 860 pempamer dari dalam dan luar negara, dengan pelbagai demonstrasi udara dan laut dijadualkan sepanjang tarikh tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

