'Aishah Umairah dan Mohd Raifal' - Mangsa dua beradik rentung berpelukan dikenal pasti

SIK - Mangsa yang rentung dalam kebakaran di sebuah pejabat pengurusan bersebelahan pusat penyimpanan tong Gas Petroleum Cecair (LPG) di Kampung Teloi Tua di sini dikenal pasti sebagai dua beradik.
Ketua Polis Daerah Sik, Superintenden Shamzury Saman berkata, mangsa pertama dikenali Aishah Umairah Abdul Latif, 16 bulan dan abangnya, Mohd Raifal Abdul Latif, 3 tahun.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati kedua-dua mangsa tinggal bersama ibu berusia 23 yang tidak bekerja dan menumpang sementara bersama datuk mangsa, berdekatan lokasi kejadian.
"Datuk mangsa berusia 42 tahun bekerja sebagai kelindan lori tong gas berada di bilik lain lebih kurang 50 meter dari tempat kejadian," katanya.
Menurutnya, punca kebakaran masih dalam siasatan dan belum dapat dipastikan.
"Pasukan Forensik Polis dan Bomba telah hadir ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan lanjut untuk mengenal pasti punca sebenar kebakaran," katanya.
Mayat dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk dibedah siasat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

