Paras biotoksin turun, namun kerang Port Dickson belum selamat dimakan

Larangan mengutip dan memakan kupang serta kerang-kerangan dari perairan Port Dickson masih kekal. Gambar hiasan
Larangan mengutip dan memakan kupang serta kerang-kerangan dari perairan Port Dickson masih kekal. Gambar hiasan
A
A
A

SEREMBAN - Ujian makmal oleh Pusat Biosekuriti Perikanan Kuala Lumpur (PBPKL) terhadap sampel air laut dari perairan Port Dickson beberapa hari lepas mendapati paras biotoksin menunjukkan trend penurunan, iaitu di bawah 800 bahagian per bilion (ppb).

Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Sembilan (JPNS), Kasim Tawe berkata, bagaimanapun larangan mengutip dan memakan kupang serta kerang-kerangan di kawasan berkenaan masih dikekalkan buat masa ini, sehingga pemantauan lanjut selesai.

"Paras biotoksin sudah menunjukkan penurunan sedikit daripada paras bahaya, tetapi kami memerlukan sedikit masa lagi untuk pengambilan sampel bagi memastikan paras biotoksin kekal rendah dan stabil.

"Buat masa ini, larangan mengambil dan memakannya masih dikekalkan. Kami akan melakukan pengambilan sampel secara berkala setiap minggu bagi memastikan bacaan paras biotoksin benar-benar selamat,” katanya kepada Bernama di sini pada Jumaat.

Kasim sebelum ini dilaporkan berkata, pengusaha dan penternak melalui sistem pancang dan panggar kupang dari Sungai Sekawang ke Tanjung Teluk, Pasir Panjang, diminta menghentikan sementara kerja mengambil, mengutip, mengeluarkan dan menuai kerang-kerangan dari perairan Port Dickson.

Beliau berkata, larangan itu dikeluarkan sehingga siasatan serta pemantauan pihaknya selesai dijalankan, dan orang awam dinasihatkan supaya tidak makan kerang-kerangan dari kawasan terbabit bagi mengelakkan risiko keracunan makanan. - Bernama

 

 

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Ujian makmal oleh PBPKL mendapati paras biotoksin di perairan Port Dickson menunjukkan trend penurunan
  • Larangan mengutip dan memakan kupang serta kerang-kerangan masih dikekalkan
  • Paras biotoksin sudah menunjukkan penurunan dari paras bahaya, tetapi pemantauan lanjut masih diperlukan
  • Pengambilan sampel secara berkala akan dilakukan setiap minggu untuk memastikan paras biotoksin kekal rendah dan stabil
  • Orang awam dinasihatkan tidak makan kerang-kerangan dari kawasan tersebut untuk mengelakkan risiko keracunan makanan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!