Kupang, kerang di Port Dickson masih belum selamat dimakan

PORT DICKSON - Analisis makmal terhadap sampel kedua kupang dan kerang-kerangan yang diambil dari perairan Port Dickson masih mengesan kewujudan biotoksin melebihi paras selamat.
Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Sembilan (JPNS), Kasim Tawe berkata, berikutan itu makanan laut berkenaan berbahaya untuk dimakan dan boleh menyebabkan masalah kesihatan.
"Laporan awal makmal yang diperoleh menunjukkan kandungan biotoksin masih melebihi paras yang dibenarkan iaitu melebihi 800 per billion (pph).
"Pihak Ibu Pejabat Jabatan Perikanan akan membuat hebahan rasmi untuk melarang, mengambil, mengutip dan menuai kerang-kerangan, tetapi ia bukan bermaksud kawasan itu akan ditutup," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Sebelum ini, media melaporkan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Telok Kemang mengeluarkan hebahan larangan penjualan dan penuaian sumber kerang-kerangan (dwicengkerang) dari perairan Port Dickson.
PNK Telok Kemang memaklumkan, larangan itu berikutan pengesanan fenomena yang dipercayai merupakan ledakan alga di perairan Pasir Panjang pada jam 4.45 petang, 5 Ogos lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

