Tonton iklan baru dapat tisu tandas

BEIJING – Beberapa tandas awam di China kini mencetuskan kontroversi apabila hanya membenarkan pengguna mendapatkan tisu tandas selepas menonton iklan terlebih dahulu.
Menerusi klip dikongsikan China Insider, pengguna perlu mengimbas kod QR yang dipasang pada mesin pengeluaran tisu sebelum iklan pendek dimainkan di telefon pintar melalui sistem baharu itu.
Selepas iklan tamat, barulah beberapa helai tisu dikeluarkan.
Sekiranya jumlah itu tidak mencukupi atau pengguna mahu mengelak menonton iklan, mereka perlu membuat bayaran 0.5 yuan (sekitar RM0.30) untuk mendapatkan tisu tambahan.
Menurut pihak berkuasa, langkah berkenaan bertujuan mengurangkan pembaziran selepas ada individu dilaporkan mengambil tisu percuma dalam jumlah berlebihan.
Bagaimanapun, sistem itu menerima kecaman hebat daripada orang ramai yang menyifatkannya menyusahkan dan tidak praktikal.
Selain dikritik sebagai ‘dystopian’, timbul juga kebimbangan mengenai isu kebersihan, terutama jika telefon pengguna kehabisan bateri atau mereka tidak mempunyai wang syiling ketika mahu menggunakan tandas.
Fenomena tersebut turut mengundang sindiran di media sosial apabila ada yang menyamakan peraturan itu sebagai ‘mimpi ngeri ala Orwell’ kerana dianggap terlalu mengawal kehidupan harian rakyat.
Ringkasan AI
- Beberapa tandas awam di China hanya mengeluarkan tisu selepas pengguna menonton iklan
- Pengguna perlu mengimbas kod QR dan menonton iklan pada telefon pintar mereka untuk mendapatkan tisu
- Sekiranya pengguna memerlukan lebih banyak tisu atau tidak mahu menonton iklan, mereka perlu membayar 0.5 yuan
- Langkah ini bertujuan mengurangkan pembaziran tisu yang diambil berlebihan oleh individu
- Sistem ini mendapat kecaman kerana dianggap menyusahkan dan timbulkan kebimbangan kebersihan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

