Bukan sekadar impian

RANCANGAN Malaysia Ke-13 (RMK13) yang dibentangkan pada Julai lalu dianggap detik penting dalam sejarah negara. Ia bukan sekadar pelan pembangunan lima tahun tetapi dokumen dasar yang meletakkan asas kepada Gagasan Malaysia Madani; sebuah cita-cita besar untuk membina Malaysia lebih adil, makmur dan sejahtera.
Matlamatnya jelas, menstruktur semula ekonomi, meningkatkan daya saing, memperkukuh tadbir urus, mengangkat Malaysia sebagai peneraju Asia Tenggara, dan lebih penting, memastikan rakyat marhaen menikmati keadilan sosioekonomi.
Namun persoalan pokok tetap sama, apakah dokumen sehebat RMK13 yang menjadi aspirasi setiap warganegara ini mampu menjadi realiti dan berjaya diterjemahkan?
Sejarah sudah berkali-kali membuktikan sehebat mana pun gagasan akan sukar dicapai jika kepimpinan kolektifnya retak. Empayar Uthmaniyah pernah bertahan hampir enam abad, melahirkan peradaban dan menguasai tiga benua, membina institusi agung dalam undang-undang, pentadbiran dan pendidikan. Namun, saat perebutan kuasa melanda, tatkala pasukan kepimpinannya saling berbalah, keagungan itu runtuh perlahan-lahan. Inilah pengajaran penting. Sebuah peradaban tidak hancur kerana musuh dari luar tetapi kerana longgarnya sokongan di dalam.
Hari ini, Malaysia sedang berdiri di persimpangan sama. Perdana Menteri memperlihatkan kesungguhan luar biasa untuk memastikan gagasan Madani benar-benar membumi. Beliau tidak menghiraukan penghinaan, tohmahan mahupun fitnah pihak lawan.
Namun, perjuangan sebesar ini mustahil dipikul seorang diri. Menteri, timbalan menteri, teknokrat dan jentera komunikasi kerajaan perlu menjadi benteng pertahanan. Mereka bukan sekadar pelaksana dasar tetapi penggerak keyakinan rakyat. Jika tanggungjawab ini tidak dijayakan, risiko yang menanti bukan kecil. Perjuangan besar Malaysia Madani akan dilihat sebagai retorik politik.
Rakyat tidak membaca RMK13 seperti membaca kitab akademik. Mereka menilai hasilnya melalui periuk nasi di dapur dan baki wang di dompet pada hujung bulan. Di sebalik segala gagasan dan sasaran makro, rakyat marhaen tetap bertanya adakah harga barang akan turun? Adakah peluang pekerjaan semakin banyak? Adakah gaji cukup untuk menampung keluarga? Malaysia tidak boleh hanya bergantung kepada perdana menteri seorang. Ia memerlukan pemimpin versatil, tokoh pelapis yang memiliki keseimbangan berikut:
Dekat dengan rakyat mampu turun padang, menyelami denyut nadi rakyat marhaen, dan tidak terperangkap dalam politik elitis.
Berani berdepan musuh politik - teguh mempertahan dasar, tetapi cerdik membaca strategi lawan.
Seimbang antara agama dan budaya mampu menjadi jambatan antara kepelbagaian etnik, tidak jumud dan tidak terperangkap dalam retorik sempit.
Pragmatik dalam keputusan sanggup membuat keputusan sukar demi kepentingan negara, meski tidak popular dalam jangka pendek.
Tanpa pelapis berwibawa, kesinambungan Madani akan tergugat. Kita tidak mahu melihat perdana menteri berjuang sendirian, sementara pasukannya rapuh dan pelapisnya kabur.
Ada dua jalan yang boleh dipertimbangkan dalam mendepani situasi ini:
Reformasi komunikasi jentera kerajaan - Setiap kementerian mahu pun agensi kerajaan perlu menggunakan bahasa rakyat dalam menterjemah dasar hebat RMK13. Contohnya, jika kerajaan mahu bercakap tentang defisit fiskal, rakyat mahu tahu bagaimana ia akan menurunkan harga barang.
Pembangunan kepimpinan pelapis - Parti pemerintah perlu serius melahirkan generasi pemimpin berwibawa. Bukan sekadar meletakkan nama muda di pentas politik, tetapi melatih mereka dengan kompetensi teknokratik, keupayaan komunikasi massa, dan jiwa rakyat.
Bayangkan sebuah bangunan megah yang dirancang oleh seorang arkitek hebat. Pelannya sempurna, lukisannya indah, dan asasnya kukuh. Tetapi jika tiang-tiang penopangnya retak, bangunan itu tidak akan berdiri lama.
Malaysia Madani adalah bangunan itu. Anwar Ibrahim ialah arkiteknya, dan pasukan kepimpinan negara ialah tiang-tiang penopang yang akan menentukan sama ada bangunan ini mampu bertahan dan berdiri teguh.
Andainya keadaan ini dibiarkan berterusan, perdana menteri terus dilihat berjuang sendirian sementara pasukannya rapuh dan rakyat pula semakin hilang sabar, maka akan berlakulah satu babak krisis kepimpinan yang boleh menjadi tragedi kepada sebuah negara bernama Malaysia.
* Datuk Ismail Yusop ialah Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM)
Ringkasan AI
- RMK13 adalah dokumen dasar untuk mencapai Gagasan Malaysia Madani yang bertujuan membina Malaysia lebih adil, makmur dan sejahtera
- Matlamat RMK13 termasuk restrukturisasi ekonomi, meningkatkan daya saing, dan mengangkat Malaysia sebagai peneraju Asia Tenggara
- Kepimpinan kolektif yang kuat diperlukan untuk menjadikan RMK13 sebuah realiti, mengambil pengajaran dari kejatuhan Empayar Uthmaniyah
- Perdana Menteri berusaha keras mewujudkan gagasan Madani, namun perjuangan ini memerlukan sokongan padu menteri, timbalan menteri, teknokrat, dan jentera komunikasi kerajaan
- Perlu ada reformasi komunikasi dan pembangunan kepimpinan pelapis untuk mewujudkan gagasan Madani dan menghindari krisis kepimpinan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

