Dedah realiti ekonomi, bukan sekadar isu harga barang - Armizan

PAPAR - Peranan pengamal media bukan hanya terhad kepada melaporkan kegusaran rakyat berhubung isu kenaikan harga barang dan inflasi, sebaliknya turut perlu menyalurkan gambaran sebenar mengenai keadaan ekonomi semasa serta langkah yang sedang diambil kerajaan untuk menstabilkan situasi tersebut.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, penting untuk rakyat memahami bahawa inflasi merupakan fenomena global yang turut dialami hampir seluruh negara di dunia, bukan hanya di Malaysia.
“Inflasi itu sendiri membawa maksud berlaku kenaikan harga barangan dan perkhidmatan, tetapi tanggungjawab kerajaan ialah memastikan sebarang pergerakan harga berlaku pada kadar yang stabil.
“Jauh lebih penting, di bawah kerajaan Madani hari ini, usaha bukan sekadar tertumpu pada kawalan harga semata-mata, tetapi juga bagaimana menambah pendapatan rakyat,” katanya ketika berucap pada Malam Citra Tradisi #KPDNKITA di Kinarut pada Jumaat.
Tambah beliau, kerajaan juga telah mengambil pelbagai inisiatif termasuk menaikkan emolumen penjawat awam dan memperluas bantuan tunai kepada rakyat sebagai langkah segera meringankan beban kos sara hidup.
“Ada yang mempersoalkan dasar kerajaan kini kononnya sama seperti dahulu. Tetapi bezanya, dulu bantuan tunai mungkin hanya RM4 bilion, kemudian meningkat kepada RM8 bilion, namun sekarang di bawah kerajaan Madani, bantuan tunai telah mencecah RM14 bilion.
“Ini menunjukkan komitmen kerajaan untuk memastikan rakyat mempunyai pendapatan segera, khususnya dalam kalangan miskin dan miskin tegar.”
Ahli Parlimen Papar itu turut memberikan contoh melalui pelaksanaan Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA), yang membolehkan rakyat kurang berkemampuan membeli barangan keperluan asas di premis terpilih hanya menggunakan MyKad.
“Dulu orang kata tidak masuk akal mahu beli barang guna kad pengenalan. Alhamdulillah, sekarang sudah ada program SARA. Rakyat boleh membeli barangan di sektor peruncitan hanya dengan menggunakan kad pengenalan,” katanya.
Beliau menambah, kerajaan negeri juga memainkan peranan apabila hasil negeri yang bertambah disalurkan terus kepada rakyat menerusi bantuan tunai seperti Program Sentuhan Kasih Rakyat (Syukur).
“Apabila hasil kerajaan Sabah meningkat sedikit, perkara pertama yang dilakukan ialah memberi bantuan tunai melalui Syukur. Ini kaedah segera untuk kerajaan negeri menyampaikan bantuan dan meningkatkan pendapatan rakyat.
“Orang kata, kita kena pastikan rakyat ada makanan di atas meja. Ini pendekatan segera untuk memastikan rakyat yang susah dan miskin tegar mempunyai pendapatan untuk membeli keperluan harian.”
Beliau turut menyentuh peranan kementerian lain seperti Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang diterajui Datuk Ewon Benedick, dalam memperkasa rakyat melalui bidang keusahawanan.
“Supaya mereka bukan sahaja mampu menjana pendapatan sendiri, tetapi juga mencipta peluang pekerjaan kepada orang lain,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru agar media melaporkan isu kos sara hidup secara menyeluruh dan seimbang, bukan sekadar menyoroti tekanan yang dihadapi rakyat, tetapi turut mengetengahkan usaha penyelesaian berterusan kerajaan untuk dimanfaatkan rakyat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
