Kalau dah hujan lebat, segeralah beredar

MUSIM hujan lebat sudah tiba namun masih ramai yang sanggup mengambil risiko melakukan aktiviti perkhemahan di tepi sungai. Mungkin sebab tempahan dan bayaran tapak sudah lama dibuat, malah ada yang telah berjanji dengan anak-anak nak bawa mandi sungai.
Katanya nak healing tapi awas, jangan sampai ‘hilang’ terus dari radar.
Merak Jalanan bukan anti perkhemahan tetapi apabila khemah didirikan di tepi sungai ketika musim hujan lebat, adakah healing lebih penting daripada keselamatan?
Bila berkumpul ramai-ramai, kita mudah leka sehingga terlupa nak memerhatikan keadaan sekeliling terutama arus sungai. Malah bila air mula naik. masih ada yang kata ‘tak apa, kejap lagi surutlah tu’. Tapi bila kepala air datang, barulah nak menjerit, kelam-kabut berlari.
Kepala air bukan gurauan atau satu keseronokan untuk ditonton. Sudah banyak kes khemah hanyut, kereta remuk dan nyawa melayang.
Pemilik tapak perkhemahan juga perlu menetapkan prosedur operasi standard (SOP) ketika berdepan dengan situasi demikian. Beri amaran awal kepada pengunjung, bukan sekadar menampal poster peringatan di pondok pendaftaran.
Pengunjung pula jangan keras kepala dan bila diberi arahan meninggalkan kawasan khemah, sila patuh. Jangan sibuk angkut barang atau nak rakam video untuk TikTok. Keselamatan bukan bahan tontonan, ia tanggungjawab bersama.
Merak Jalanan bagaimanapun memuji ada segelintir pemilik tapak perkhemahan yang mempunyai SOP tersendiri dan ia berjaya diimplementasikan apabila semua pergerakan keluar pengunjung dari tapak perkhemahan berjalan dalam keadaan teratur.
Jika cara sedemikian dilaksanakan di semua tapak perkhemahan, risiko ancaman nyawa ketika berkhemah di musim hujan lebat dapat dikurangkan.
Tiada aktiviti di kawasan alam semula jadi yang tidak berisiko. Yang penting, ia perlu dilakukan dengan ilmu pengetahuan dan bukan secara semberono.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
