Antara nilai ekonomi dan warisan tanah Melayu

ISU pembangunan semula Kampung Sungai Baru terus mencetuskan perdebatan antara nilai ekonomi dan warisan tanah Melayu di kawasan bandar.
Ketika pemaju dan pihak berkuasa menekankan potensi pembangunan serta pampasan ditawarkan, sebahagian penduduk pula mempertahankan identiti komuniti yang telah berakar sejak lebih satu abad.
Pembangunan yang dirancang ialah Projek KL City Gateway membabitkan pengambilan tanah seluas 3.2 hektar merangkumi rumah teres dan flat.
Walaupun lebih 70 peratus pemilik telah bersetuju namun segelintir kecil menolak atas alasan nilai pampasan tidak setimpal dan bakal kehilangan tanah warisan.
Kekecohan pada 11 September lalu menunjukkan betapa dalamnya emosi penduduk terlibat.
Dari sudut ekonomi, pakar hartanah melihat pampasan yang ditawarkan adalah berbaloi.
Pemilik rumah teres yang menerima tiga hingga sembilan unit gantian bernilai RM2.7 juta hingga RM8.1 juta berpotensi menjana pulangan jangka panjang melalui sewaan atau jual semula.
Pampasan berbentuk unit kediaman di lokasi strategik itu adalah jauh lebih menguntungkan berbanding pampasan tunai semata-mata.
Nilai hartanah di kawasan tersebut juga dijangka meningkat secara konsisten dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.
Justeru bagi pakar hartanah, pembangunan semula Kampung Sungai Baru perlu dilihat sebagai peluang untuk memperkukuh ekonomi dan mempertingkatkan taraf hidup orang Melayu di banda.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menegaskan bahawa pemaju perlu bertanggungjawab terhadap kesejahteraan penduduk asal.
Beliau menggesa agar unit kediaman yang siap nanti dijual kepada pembeli Melayu sahaja dan mencadangkan agar Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (PSB) menetapkan syarat ketat terhadap pemaju.
Sementara Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa menafikan dakwaan kononnya pembangunan itu akan mengeluarkan masyarakat Melayu dari kawasan bandar.
Sebaliknya, tegas beliau, penduduk akan kembali ke kawasan asal mereka selepas rumah siap dibina dengan kediaman lebih selesa serta moden.
Reka bentuk kediaman baharu nanti akan mengekalkan identiti Melayu dengan elemen seni bina tempatan seperti yang diminta oleh penduduk.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
