Pas tak layak campur tangan isu Kampung Sungai Baru - Khalid Samad

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad menyifatkan Pas tidak layak mencampuri isu pengambilan tanah Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur kerana parti itu sendiri didakwanya gagal menyelesaikan masalah tanah rakyat di Kelantan.
Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan beberapa pemimpin yang menyatakan sokongan terhadap penduduk Kampung Sungai Baru selain kenyataan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang mendakwa kerajaan boleh membatalkan penggunaan Akta Pengambilan Tanah 1960.

“Dia ingat undang-undang ni macam main TikTok ke? Main catur pun tak boleh tarik-tarik. Ini undang-undang lah cikgu.
“Hentikan nak jaga tepi kain orang sebab terlalu sibuk jaga kain orang, kamu tak sedar kamu sendiri hampir terdedah,” katanya dalam sidang media di ibu negara pada Rabu.
Khalid berkata, Pas sepatutnya terlebih dahulu menunaikan janji yang dibuat di Kelantan berhubung isu 53 keluarga yang tinggal di kawasan Jalan Atas Paloh, Kota Bharu sejak lebih 80 tahun.
“Penduduk di situ telah menambak dan mendirikan rumah sejak sebelum merdeka. Arwah Tok Guru Nik Aziz pernah berjanji mereka akan diberi pampasan serta rumah baharu bila projek perumahan oleh PKINK dibangunkan.
“Selepas Tok Guru meninggal dunia, 53 keluarga ini hanya diberi pampasan RM1,000 setiap satu keluarga, bukannya RM1,000 sekaki persegi. RM500 diberi sebelum berpindah dan RM500 selepas berpindah,” jelasnya.
Beliau menegaskan janji bekas Menteri Besar Kelantan itu turut disaksikan oleh Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang ketika itu Exco Kerajaan Negeri Kelantan.
“Betulkan isu itu dahulu, jangan cuba jadi hero dan juara dalam soal Kampung Sungai Baru. Kamu tidak layak untuk campur tangan,” tambahnya.
Terdahulu, Pas melalui beberapa kenyataan parti dan sayap pemudanya mengecam tindakan pengosongan penduduk Kampung Sungai Baru serta mendesak kerajaan menilai semula pelaksanaan Akta Pengambilan Tanah.
Parti itu mendakwa isu tersebut melibatkan kepentingan orang Melayu dan wajar dipertimbangkan semula bagi mengelakkan ketidakadilan kepada pemilik tanah.
Ringkasan AI
- Khalid Abdul Samad menyatakan Pas tidak layak campur tangan dalam isu Kampung Sungai Baru kerana gagal selesaikan masalah tanah di Kelantan
- Pas mendakwa kerajaan boleh batalkan penggunaan Akta Pengambilan Tanah 1960
- Khalid mengkritik Pas kerana belum menunaikan janji kepada 53 keluarga di Kelantan yang mendapat pampasan tidak adil
- Janji kepada keluarga di Kelantan dibuat oleh Tok Guru Nik Aziz dan disaksikan oleh Datuk Seri Takiyuddin Hassan
- Pas mengecam tindakan pengosongan Kampung Sungai Baru dan mendesak kajian semula Akta Pengambilan Tanah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

