Isu Kampung Sungai Baru: Khalid teruskan saman terhadap Rafidah

Zulhazmi (kanan) bersama Khalid ketika sidang akhbar di sebuah restoran di ibu negara pada Rabu
Zulhazmi (kanan) bersama Khalid ketika sidang akhbar di sebuah restoran di ibu negara pada Rabu
A
A
A

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad menegaskan bahawa beliau akan meneruskan tindakan saman terhadap aktivis penduduk Kampung Sungai Baru, Rafidah Ibrahim yang didakwa membuat kenyataan mengelirukan berhubung status tanah di kawasan berkenaan.

Peguam Khalid, Zulhazmi Shariff berkata, saman tersebut telah diserahkan melalui beberapa kaedah selepas Rafidah enggan menerima serahan secara terus.

“Kami telah melakukan serahan ganti termasuk melalui siaran akhbar, tampalan di mahkamah dan di kediamannya. Mahkamah telah menetapkan 29 September ini untuk pengurusan kes, namun sehingga kini beliau masih gagal memfailkan kehadiran.

“Sepatutnya pada 12 September lalu beliau hadir, tetapi tidak. Oleh itu, kami akan memfailkan perakuan ketidakhadiran dan memohon penghakiman ingkar selain menentukan tarikh taksiran ganti rugi,” jelasnya dalam satu sidang akhbar di ibu negara pada Rabu.

Zulhazmi dalam masa sama merayu agar Rafidah tampil di mahkamah bagi menjelaskan dakwaan yang dibuatnya.

Sementara itu, Khalid menolak dakwaan bahawa Kampung Sungai Baru merupakan sebahagian daripada Tanah Rizab Melayu, sebaliknya menjelaskan bahawa kawasan tersebut hanya wujud pada tahun 1960-an selepas proses pelurusan sungai.

“Geran Kampung Sungai Baru adalah pegangan pajakan (leasehold) selama 99 tahun, sedangkan Enakmen Malay Agricultural Settlement (MAS) digubal pada awal 1900-an. Maka, adalah mustahil Kampung Sungai Baru termasuk dalam kawasan MAS.

“Dakwaan kononnya ia tanah emas adalah mengelirukan dan tidak pernah disertakan dengan bukti kukuh,” tambahnya.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Khalid Abdul Samad akan teruskan tindakan saman terhadap Rafidah Ibrahim atas kenyataan mengelirukan tentang status tanah Kampung Sungai Baru
  • Saman sudah diserahkan melalui beberapa kaedah selepas Rafidah enggan terima secara terus
  • Mahkamah menetapkan 29 September untuk pengurusan kes tetapi Rafidah gagal masukkan kehadiran
  • Khalid menolak dakwaan Kampung Sungai Baru adalah sebahagian dari Tanah Rizab Melayu
  • Geran Kampung Sungai Baru adalah leasehold 99 tahun, bukan tanah rizab atau tanah emas

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!