Isu Kampung Sungai Baru: 236 unit rumah setuju usaha sama dengan pemaju

Laporan Sinar Harian pada Sabtu.
Laporan Sinar Harian pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 71.95 peratus bersamaan 236 unit rumah di Kampung Sungai Baru bersetuju untuk mengadakan usaha sama (JV) dengan pemaju berdasarkan dapatan terkini selepas rundingan melalui pakej harmoni.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, sebelum ini daripada jumlah keseluruhan 328 unit yang melibatkan 64 lot rumah teres dan 264 unit flat, pada asalnya hanya 66.77 peratus bersetuju untuk JV (219 unit merangkumi 27 lot teres dan 192 unit flat).

Dr Zaliha
Dr Zaliha

Menurutnya, baki 33.23 peratus (109 unit meliputi 37 lot teres dan 72 unit flat) tidak bersetuju.

Jelas Dr Zaliha, golongan yang bersetuju untuk JV bakal menerima rumah gantian berkeluasan 969 kaki persegi atau 1,200 kaki persegi.

“Pemilik unit flat akan menerima sebuah rumah dianggarkan bernilai RM884,000 hingga RM1 juta manakala pemilik rumah teres antara tiga hingga sembilan unit rumah gantian dengan anggaran nilai RM2.7 juta hingga RM8.1 juta.

“Sepanjang menunggu rumah baharu siap, sewa kediaman mereka ditanggung sepenuhnya oleh pemaju. Selain itu, mereka juga menerima bayaran persetujuan usaha sama.

“Ia termasuk kos pindah dan keluar masuk rumah gantian, ex-gratia ubah suai rumah sedia ada serta bayaran lebihan tunai bagi lot teres jika nilai unit gantian kurang dari nilai hartanah yang dimiliki,” katanya kepada Sinar Harian.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata demikian sebagai respons kepada soalan berbangkit daripada orang awam memandangkan terdapat percanggahan fakta daripada pelbagai pihak termasuk pembangkang.

Dr Zaliha turut memaklumkan, bagi yang tidak bersetuju untuk JV, pampasan telah dibayar kepada penduduk kampung berkenaan.

Tambah beliau, ada antaranya menerima RM198,000 hingga RM2.9 juta.

Katanya, pampasan itu termasuk nilai hartanah, kos selenggara atau penambahbaikan, kos pindah, kos sewa sementara, kos kehilangan pendapatan, kos hadir bicara, fi penilaian dan lain-lain.

Keadaan rumah di Kampung Sungai Baru sehari selepas operasi pengosongan pihak berkuasa pada Khamis.
Keadaan rumah di Kampung Sungai Baru sehari selepas operasi pengosongan pihak berkuasa pada Khamis.

Beliau juga memberitahu, kerajaan melalui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengambil inisiatif proaktif dengan menyediakan penempatan sesuai seperti di Residensi Sungai Udang kepada pemilik yang tidak bersetuju.

“Jika mereka tidak bersetuju dengan pampasan tersebut, hak mereka untuk kemukakan perkara ini kepada mahkamah.

“Kita perlu berlaku adil kepada majoriti yang bersetuju dan menunggu hampir sedekad untuk dapat rumah baru mereka.

“Tidak adil kepada mereka yang bersetuju jika pembangunan ini terus tertangguh, sedangkan yang tidak bersetuju dapat hak (pampasan) manakala yang bersetuju belum menerima hak sepenuhnya lagi (rumah gantian),” ujar beliau.

Ringkasan AI

  • Sebanyak 71.95 peratus penduduk Kampung Sungai Baru bersetuju untuk usaha sama dengan pemaju
  • Keseluruhan 328 unit di Kampung Sungai Baru melibatkan 64 lot rumah teres dan 264 unit flat
  • Pemilik unit flat bakal menerima rumah gantian bernilai RM884,000 hingga RM1 juta, pemilik rumah teres antara RM2.7 juta hingga RM8.1 juta
  • Sewa kediaman ditanggung oleh pemaju sepanjang menunggu rumah baharu siap, termasuk bayaran persetujuan usaha sama
  • Penduduk yang tidak bersetuju dengan JV menerima pampasan RM198,000 hingga RM2.9 juta, dan disediakan penempatan alternatif di Residensi Sungai Udang

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!