Bekas Menteri Wilayah sedia berdebat isu Kampung Sungai Baru

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad menyatakan kesediaannya untuk berdebat berhubung isu pembangunan semula Kampung Sungai Baru yang kini menjadi perhatian masyarakat.
Menurut Khalid, cadangan penganjuran debat itu timbul selepas satu klip video di laman TikTok menjadi tular baru-baru ini yang menggesa supaya semua bekas Menteri Wilayah Persekutuan tampil menjelaskan peranan masing-masing.
“Di laman TikTok itu, ada pihak yang mencadangkan debat. Video itu menjadi tular. Mereka kata kes Kampung Sungai Baru ini sudah menjadi rumit, mengelirukan dan sebagainya.
“Mereka mencadangkan agar semua mantan Menteri Wilayah tampil. Walaupun saya tidak terlibat pada peringkat awal, saya terlibat selepas itu kerana saya membawa usul dan sebagainya. Jadi saya ingin nyatakan, saya bersedia,” katanya dalam sidang akhbar di ibu negara pada Rabu.
Khalid berkata, debat itu wajar turut disertai oleh tiga bekas Menteri Wilayah Persekutuan iaitu Tan Sri Annuar Musa (10 Mac 2020-16 Ogos 2021), Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (30 Ogos 2021-24 November 2022) dan beliau sendiri.
Selain itu, beliau turut mencadangkan agar Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang mewakili kawasan berkenaan dijemput menyertai sesi debat tersebut.
“Panggil Datuk Seri Johari Ghani sekali. Ini kawasan beliau. Saya mahu tahu apa yang beliau lakukan sebenarnya. Sebelum ini saya pernah jemput beliau berdebat tetapi beliau tidak hadir.
“Sekarang mungkin beliau lebih yakin dan boleh hadir. Biar kita cari kebenaran,” ujarnya.
Bagaimanapun, Khalid menegaskan bahawa debat itu perlu diadakan secara siaran langsung dan diselia oleh seorang moderator yang benar-benar neutral supaya fakta sebenar dapat diperoleh tanpa sebarang manipulasi.
“Dengan syarat, debat itu boleh dibuat di mana-mana sahaja tetapi mesti secara langsung. Saya tidak mahu rakaman, kerana dengan teknologi seperti AI sekarang ini, anda tidak boleh mempercayainya.
“Biar pengerusi atau moderator itu seorang yang neutral. Jangan panggil individu tertentu atau media yang berat sebelah. Dengan cara itu, barulah kita dapat memperoleh fakta sebenar,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa beliau tidak pernah mencabar mana-mana pihak sebaliknya hanya menyahut cadangan yang dibuat oleh masyarakat.
Ringkasan AI
- Khalid Abdul Samad bersedia berdebat tentang pembangunan semula Kampung Sungai Baru setelah isu tersebut menjadi perhatian masyarakat melalui video viral di TikTok
- Cadangan debat berkenaan datang dari netizen di TikTok yang merasa isu Kampung Sungai Baru sudah menjadi rumit dan mengelirukan
- Khalid menyarankan agar debat tersebut turut melibatkan tiga bekas Menteri Wilayah Persekutuan dan Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani
- Khalid menekankan pentingnya debat berlangsung secara siaran langsung dan dipantau oleh moderator yang neutral untuk mendapatkan fakta sebenar tanpa manipulasi
- Beliau menjawab cadangan debat daripada masyarakat dan menegaskan bukan mencabar mana-mana pihak
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

