Kewaspadaan tinggi kunci utama banteras rasuah dalam era AI - Rasuah Busters

Laporan Sinar Harian berhubung AI senjata baharu perangi rasuah – KSN. Gambar kecil: Norhayati
Laporan Sinar Harian berhubung AI senjata baharu perangi rasuah – KSN. Gambar kecil: Norhayati
A
A
A

SHAH ALAM – Kecerdasan buatan (AI) berpotensi dijadikan sistem amaran awal bagi mengesan tanda-tanda awal (red flags) penyelewengan, namun penggunaannya perlu disertai pengawasan dan perlindungan data yang ketat.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (#RasuahBusters), Norhayati Nordin berkata, kewaspadaan tinggi masih diperlukan meskipun AI membawa pelbagai manfaat dalam era transformasi digital.

"AI adalah satu proses transformasi yang boleh membantu advokasi, pengawalan risiko rasuah serta siasatan jenayah, tetapi ia mesti ditadbir urus dengan prinsip ketelusan tanpa diskriminasi, manakala keputusan akhir tetap di tangan manusia.

"Sejauh mana pun kita menggunakan AI, kecenderungan untuk manipulasi itu memang boleh berlaku. Justeru, audit dan pengawasan bebas terhadap algoritma AI sangat penting supaya ia tidak disalah guna," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Terdahulu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar menasihatkan Malaysia supaya bersedia menghadapi cabaran tatakelola era AI bagi memastikan perkhidmatan awam terus cekap, telus dan berintegriti menjelang sasaran negara berteraskan AI pada 2030.

Bagaimanapun, Shamsul Azri melihat AI mampu meningkatkan keberkesanan pentadbiran serta memperkukuh integriti sektor awam sekiranya dimanfaatkan dengan betul.

Menurut Norhayati lagi, perlindungan data yang ketat termasuk pematuhan Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA) perlu diberi perhatian, sekali gus AI boleh dijadikan sistem amaran awal untuk memberi red flags sebelum sesuatu kes berlaku.

Dalam pada itu, beliau menegaskan walaupun AI boleh merentas teknologi dan melakukan pelbagai perkara, ia tetap mempunyai keterbatasan tertentu dan tidak boleh menggantikan kebijaksanaan manusia.

Beliau turut menyarankan supaya transformasi digital berasaskan AI melibatkan pegawai atau kakitangan berkompetensi yang memahami batasan serta etika dalam pengurusan maklumat.

Artikel Berkaitan:

"Dalam kita mengadaptasi AI, semuanya mesti bergerak seiringan antara artificial intelligence dan real intelligence. Strateginya, AI memang boleh membantu tetapi senjata sebenar menentang rasuah adalah manusia dengan nilai fitrah dan integriti," katanya.

Justeru, Norhayati turut menekankan kepentingan etika dan ketelusan dalam penggunaan AI bagi memastikan siasatan benar-benar bebas serta telus untuk disampaikan kepada rakyat.

Selain itu, beliau mencadangkan supaya simulasi kes perolehan dilaksanakan bagi menilai keupayaan AI mengesan tender yang meragukan.

"AI boleh digabungkan dengan teknologi blockchain untuk audit digital, meningkatkan ketelusan data dan seterusnya dikongsi rentas agensi seperti Jabatan Audit Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan badan penguat kuasa lain," ujarnya.

Tambahnya, pendekatan itu akan menjadikan penggunaan AI lebih terkawal, berkesan dan menjamin keadilan kepada rakyat.

Ringkasan AI

  • Kecerdasan buatan berpotensi sebagai sistem amaran awal untuk mengesan tanda awal penyelewengan dengan syarat pengawasan dan perlindungan data yang ketat
  • Penggunaan AI harus ditadbir urus dengan prinsip ketelusan tanpa diskriminasi dan keputusan akhir tetap di tangan manusia
  • Perlindungan data yang ketat dan pematuhan Akta Perlindungan Data Peribadi ditekankan untuk mencegah penyalahgunaan AI
  • AI memiliki keterbatasan dan tidak dapat menggantikan kebijaksanaan manusia dalam menilai dan membuat keputusan
  • Penggunaan AI harus melibatkan etika dan ketelusan untuk memastikan siasatan bebas dan telus, serta meningkatkan integriti melalui simulasi dan gabungan dengan teknologi blockchain

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!