AI senjata baharu perangi rasuah – KSN

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar
A
A
A

SEPANG – Malaysia perlu bersedia menghadapi cabaran tatakelola era kecerdasan buatan (AI) bagi memastikan perkhidmatan awam terus cekap, telus dan berintegriti menjelang sasaran negara berteraskan AI pada 2030.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, perkembangan pesat teknologi pintar di era Revolusi Industri 4.0 membawa perubahan besar dalam cara masyarakat berkomunikasi, bekerja dan membuat keputusan.

Menurutnya, AI mampu meningkatkan keberkesanan pentadbiran serta memperkukuh integriti sektor awam sekiranya dimanfaatkan dengan betul.

“Penggunaan AI dalam pencegahan rasuah semakin meluas di peringkat global, khususnya dalam sektor awam, perolehan dan penguatkuasaan.

“Kita tidak boleh ketinggalan kerana teknologi ini berupaya menganalisis ribuan data kewangan dan mengesan corak transaksi yang mencurigakan sebelum ia menjadi penyelewengan,” katanya ketika merasmikan Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan Kali Ke-4 di sini, pada Khamis.

Shamsul Azri menegaskan, keupayaan AI memberi amaran awal mengenai kemungkinan berlaku salah guna kuasa dapat membantu pihak berkuasa bertindak lebih pantas dan mengurangkan risiko ketirisan dana awam.

Beliau memberi contoh Korea Selatan yang telah memperkukuh sistem e-perolehan melalui Korea Online e-Procurement System (KONEPS) dengan gabungan teknologi AI dan blockchain bagi memastikan ketulenan dokumen serta mengelak manipulasi perolehan.

“Suruhanjaya Anti-Rasuah dan Hak Sivil Korea Selatan (ACRC) turut membangunkan AI Risk Diagnosis Prediction Platform untuk menilai risiko, mengesan sistem yang tidak berintegriti dan melindungi keselamatan orang awam.

“Pendekatan seperti ini adalah proaktif dan wajar dijadikan rujukan,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Shamsul Azri berkata, sektor awam perlu memanfaatkan teknologi baharu itu untuk meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan agar selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

“Apabila integriti meningkat, keyakinan rakyat dan pelabur asing juga bertambah sekali gus menjamin kelestarian pembangunan negara,” katanya.

Beliau menegaskan agenda pemerkasaan tatakelola, integriti dan antirasuah kekal menjadi keutamaan kerajaan serta memerlukan komitmen semua pihak.

Katanya, penjawat awam memainkan peranan penting memastikan setiap keputusan berlandaskan peraturan dan prinsip tatakelola yang baik bagi memulihkan kepercayaan masyarakat.

“Harapan saya, hasil persidangan ini dapat dimanfaatkan dalam menjayakan agenda pembangunan negara ke arah Malaysia yang berintegriti dan bebas rasuah,” ujarnya.

Persidangan dua hari itu dianjurkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan kerjasama Institut Integriti Malaysia (IIM) sebagai platform perkongsian ilmu, strategi dan amalan terbaik dalam memperkukuh tatakelola serta membanteras rasuah.

Sementara itu ketika ditemui pemberita, Shamsul Azri berkata kerajaan turut memberi perhatian terhadap fenomena productivity paradox iaitu cabaran apabila pendigitalan dan penggunaan AI tidak semestinya meningkatkan produktiviti secara berterusan.

“Kerajaan mahu pastikan setiap pelaburan dalam AI benar-benar membawa hasil dan memberikan pulangan terbaik kepada rakyat.

“Ketika ini, kajian produktiviti sedang diperhalusi oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dengan kerjasama penyelidik dan Kementerian Digital.

"Hasilnya saya akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri dalam masa dua atau tiga minggu lagi untuk tindakan lanjut,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!