Bekas warden asrama maahad tahfiz bebas pertuduhan amang seksual

Muhammad Ikbal Izzuddin (depan, kiri) dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak lelaki, lima tahun lalu.
Muhammad Ikbal Izzuddin (depan, kiri) dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak lelaki, lima tahun lalu.
A
A
A

IPOH- Seorang bekas warden asrama maahad tahfiz dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak lelaki yang ketika itu berusia 13 tahun, lima tahun lalu.

Mahkamah membuat keputusan tersebut selepas mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kesemua pertuduhan ke atas Muhammad Ikbal Izzuddin Abd Rahim, 29, di akhir kes pembelaan.

Hakim Jean Sharmila Jesudason ketika membacakan penghakimannya berkata, mahkamah mendapati pihak pendakwaan telah gagal membuktikan satu kes prima facie terhadap tertuduh bagi kedua-dua pertuduhan dalam kes ini.

"Keputusan dibuat selepas mahkamah melihat fakta-fakta kes bagi membuktikan elemen-elemen pertuduhan untuk kedua-dua pertuduhan dalam konteks keseluruhan kes, dan membuat penilaian maksimum ke atas keterangan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan.

“Mahkamah berpuas hati kerana terdapat percanggahan, ketidakkonsistenan dan kelompongan dalam kes pendakwaan yang tidak dijelaskan sama ada melalui siasatan pihak polis atau melalui keterangan saksi-saksi. Perkara ini seterusnya menimbulkan satu keraguan yang munasabah,” katanya dalam prosiding di Mahkamah Sesyen, di sini pada Khamis.

Justeru, mahkamah memerintahkan supaya tertuduh dilepaskan dan dibebaskan tanpa dipanggil untuk membela diri bagi kedua-dua pertuduhan tersebut serta wang jaminan dikembalikan.

Sepanjang perbicaraan berlangsung, pihak pendakwaan telah memanggil seramai 10 orang saksi termasuk mangsa dan ibu mangsa.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Arfahanim Azureen Arfanuddin, manakala tertuduh diwakili peguam Aliff Aiman Rusli dan Izzat Fakhri Halimi.

Pada Jun 2020, tertuduh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh atas dua pertuduhan pindaan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki berusia 13 tahun.

Artikel Berkaitan:

Guru al-Quran yang pada ketika itu berusia 24 tahun didakwa melakukan kedua-dua perbuatan tersebut di asrama lelaki sebuah maahad tahfiz di Meru Raya sekitar jam 3 pagi pada Februari 2020.

Sehubungan itu, dia didakwa di bawah Seksyen 14(a) dan 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792), dibaca bersama Seksyen 16 akta yang sama.

Ringkasan AI

  • Bekas warden maahad tahfiz dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia 13 tahun
  • Mahkamah mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan
  • Hakim menyatakan pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie
  • Terdapat percanggahan dan ketidakkonsistenan dalam kes pendakwaan
  • Tertuduh dilepaskan tanpa dipanggil untuk membela diri dan wang jaminan dikembalikan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!