Bekas model didakwa muat naik sijil nikah palsu anak raja layak dibicarakan

KUALA LUMPUR - Pihak pendakwaan memberitahu bahawa, bekas model yang dituduh memuat naik video dan sijil nikah palsu dengan seorang putera mahkota di akaun TikTok pada Februari lalu, layak dibicarakan di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu.
Semasa sebutan kes, Timbalan Pendakwa Raya, Izzat Amir Idham berkata, laporan perubatan psikiatri forensik milik tertuduh, Persana Avril Sollunda, 43, telah diperoleh.
"Berdasarkan laporan perubatan psikiatri, tertuduh layak untuk dibicarakan di mahkamah.
"Dalam pada itu, kami akan mengemukakan enam saksi untuk memberi keterangan pada perbicaraan kelak," katanya.
Sementara itu, peguam, Jefvinder Singh yang mewakili wanita itu berkata, pembelaan akan meneliti dokumen kes tersebut sebelum mengemukakan representasi.
Selepas mendengar perkara berkenaan, Hakim, Suhaila Haron menetapkan sebutan semula kes pada 13 Oktober depan.
Pada 22 Julai lalu, mahkamah memerintahkan tertuduh yang juga tukang urut wanita itu menjalani pemeriksaan psikiatri selama sebulan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan, Perak.
Perintah berkenaan dibuat selepas mahkamah membenarkan permohonan pendakwaan untuk mendapatkan laporan kesihatan mental tertuduh.
Mengikut pertuduhan, Persana Avril didakwa membuat dan memulakan penghantaran gambar dalam satu video palsu di aplikasi TikTok melalui akaun 'king.charles.ratu' yang memaparkan sijil pernikahan palsu antara seorang kerabat diraja dan Crown Princess Ratu Shana, dengan niat menyakiti hati orang lain, pada 25 Februari.
Hantaran itu dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Menara KPJ di sini pada 10 pagi 26 Februari.
Dia didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM500,000 atau kedua-duanya sekali, dan boleh didenda selanjutnya RM5,000 bagi setiap hari kesalahan diteruskan selepas pensabitan, jika sabit kesalahan.
Ringkasan AI
- Bekas model dituduh muat naik video dan sijil nikah palsu dengan putera mahkota di TikTok layak dibicarakan di Mahkamah Sesyen
- Laporan perubatan psikiatri memperlihatkan tertuduh layak untuk dibicarakan
- Pendakwaan akan mengemukakan enam saksi pada perbicaraan
- Pembelaan akan meneliti dokumen kes sebelum mengemukakan representasi
- Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

