Bekas CEO, pengerusi NGO ditahan kes tuntutan palsu lebih RM2.1 juta

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) yayasan milik institusi perbankan serta seorang pengerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kerana dipercayai terbabit dalam tuntutan palsu berjumlah lebih RM2.1 juta.
Kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 30-an dan 50-an ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya antara jam 5 petang hingga 11.30 malam pada Selasa ketika hadir memberi keterangan.
Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin membenarkan kedua-dua suspek direman lima hari sehingga 31 Ogos selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya.
Menurut sumber, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek dipercayai bersubahat dengan memperakukan serta mengemukakan dokumen mengandungi butiran palsu melibatkan tuntutan peruntukan kepada sebuah yayasan berjumlah lebih RM2.1 juta.
“Tuntutan itu kononnya membabitkan bantuan di bawah tabung pendidikan, sedangkan program berkenaan tidak pernah dilaksanakan sebagaimana dinyatakan dalam permohonan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Zainul Darus, ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
