MCMC siasat pengguna Facebook muat naik kandungan berunsur perkauman

SHAH ALAM - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah merakam percakapan seorang pengguna Facebook susulan dakwaan memuat naik kandungan berunsur perkauman yang berpotensi menjejaskan sensitiviti masyarakat etnik di Sarawak.
MCMC dalam kenyataanya pada Jumaat menjelaskan, individu berkenaan telah hadir memberi keterangan pada Khamis sebagai sebahagian daripada proses siasatan.
"Sebuah telefon bimbit dan satu unit kad SIM disita bagi membantu siasatan lanjut.
"Kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk arahan dan tindakan selanjutnya.
"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998), yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000, penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan," katanya.
Ujar kenyataan itu lagi, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa bertanggungjawab dan beretika ketika memuat naik atau berkongsi kandungan di platform dalam talian.
"Sebarang penyebaran kandungan jelik melampau, khususnya yang menyentuh sensitiviti kaum, agama atau institusi diraja, adalah satu kesalahan serius dan tidak akan dikompromi.
"MCMC komited dalam memastikan ruang siber negara kekal selamat dan harmoni, selari dengan usaha memperkukuh perpaduan nasional serta menjaga keharmonian masyarakat berbilang kaum di Malaysia," katanya.
Katanya, MCMC tegas dalam sebarang pelanggaran undang-undang, tanpa mengira kedudukan atau latar belakang individu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!