Polis sukar kenal pasti suspek serangan anak Rafizi - KPN

KUALA LUMPUR - Polis berdepan kesukaran mengenal pasti suspek yang menyerang anak bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, dalam kejadian di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya pada 13 Ogos lalu.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, siasatan mendapati rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian tidak jelas sekali gus menyukarkan pengecaman suspek.
"Walaupun beberapa individu dikesan melalui rakaman itu, pengesahan lanjut belum dapat dibuat.
“Kita mengesan tentang pergerakan itu. Kita pun sedia maklum bahawa ada beberapa individu yang kita kenal pasti melalui rakaman, tetapi rakaman litar itu nampaknya tidak begitu jelas dan individu tidak dapat dikenali,” katanya pada sidang akhbar di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur di sini pada Rabu.
Mengulas lanjut, Mohd Khalid berkata, pihaknya juga masih menunggu laporan daripada hospital mengenai jenis cecair yang disuntik ke tubuh mangsa.
“Siasatan itu dibuat oleh pihak hospital. Jadi kita masih lagi menunggu beberapa maklumat daripada pihak hospital,” katanya.
Sabtu lalu, Rafizi ketika bercakap dengan sebuah portal berita tempatan memaklumkan beliau belum menerima sebarang perkembangan terbaru daripada pihak polis mengenai kes serangan terhadap anaknya.
Terdahulu, Rafizi mendedahkan anaknya diserang secara tiba-tiba apabila ditarik oleh seorang lelaki sebelum dicucuk dengan jarum suntikan dalam insiden itu.
Setakat ini, polis sudah merekod keterangan saksi dan meneliti rakaman CCTV bagi membantu siasatan, namun belum ada tangkapan dilakukan.
Media sebelum ini melaporkan kejadian berlaku sekitar jam 1.45 petang ketika anak dan isterinya baru memasuki kereta untuk beredar dari lokasi dan anaknya ditarik secara tiba-tiba serta dicucuk dengan jarum suntikan.
Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan dilaporkan berkata, hasil semakan awal mendapati, dua lelaki menaiki sebuah motosikal mengekori kenderaan isterinya sebelum insiden di mana kedua-duanya berpakaian serba hitam, bertopi keledar penuh yang menutup muka.
Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, dilaporkan berkata, pihaknya mengesan dua individu bermotosikal dipercayai terbabit dalam kejadian berkenaan.
Katanya, polis sudah mengenal pasti motosikal terbabit namun pemeriksaan mendapati nombor pendaftaran digunakan adalah palsu.
Bagaimanapun, katanya anak Rafizi yang berusia 12 tahun dilaporkan tidak mengalami kecederaan fizikal.
Ringkasan AI
- Polis mengalami kesukaran mengenal pasti suspek serangan terhadap anak Datuk Seri Rafizi Ramli kerana kualiti rakaman CCTV yang tidak jelas
- Siasatan masih menunggu laporan dari hospital mengenai jenis cecair yang disuntik ke tubuh mangsa
- Insiden serangan berlaku di pusat beli-belah di Putrajaya pada 13 Ogos
- Anak Rafizi diserang dan dicucuk dengan jarum suntikan ketika bersama isterinya
- Dua individu bermotosikal yang memakai pakaian serba hitam dan bertopi keledar penuh dipercayai terlibat tetapi nombor pendaftaran motosikal adalah palsu
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
