Kes serangan anak Rafizi: Polis jejak warga asing ugut isteri Rafizi

KUALA LUMPUR – Polis sedang mendapatkan bantuan daripada agensi berkaitan bagi mengesan individu warga asing yang disyaki pemilik nombor telefon yang menghantar mesej ugutan kepada isteri bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, pihaknya percaya individu terbabit dapat dikesan dalam masa terdekat.
“Kita masih memohon bantuan daripada pihak-pihak rakan (agensi berkaitan) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
“Saya percaya kita akan cuba dapat secepat mungkin,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Siri Dialog Khas III PDRM yang dianjurkan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) di Pusat Konvensyen Sime Darby di sini pada Selasa.
Mengulas dakwaan mengenai penglibatan seorang individu dalam serangan membabitkan anak lelaki Ahli Parlimen Pandan itu, beliau berkata perkara itu masih dalam siasatan.
“Ini (dakwaan) kita tidak dapat pastikan. Ia masih dalam siasatan,” katanya.
Pada Jumaat lalu, polis memaklumkan sudah mengenal pasti pemilik nombor telefon yang menghantar mesej ugutan kepada isteri Rafizi, yang didaftarkan atas nama seorang warga asing. Mohd Khalid berkata, pihaknya kini sedang mengesan individu berkenaan.
Ditanya sama ada polis telah mengenal pasti jenis cecair yang disuntik ke dalam badan anak Rafizi, beliau menjelaskan bahawa pihaknya masih menunggu laporan analisis kimia daripada hospital yang berkaitan.
Pada 13 Ogos lalu, media melaporkan anak Rafizi yang berusia 12 tahun diserang oleh dua lelaki menaiki motosikal yang menyuntik cecair ke tubuhnya di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, memaklumkan kejadian berlaku sekitar jam 2 petang di lokasi menurunkan dan mengambil penumpang di pusat beli-belah tersebut.
Sementara itu, Rafizi dalam kenyataannya menjelaskan bahawa anaknya telah diserang dengan cara diheret dan disuntik menggunakan jarum suntikan.
Menurut beliau, kejadian berlaku ketika beliau, isteri dan anak mereka sedang memasuki kereta untuk meninggalkan lokasi tersebut sebelum diserang dua orang lelaki yang berpakaian hitam sepenuhnya serta bertopi keledar yang menutup muka keseluruhannya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
