'Artikel fitnah kaitkan saya dengan skandal, kes anak Rafizi tidak benar' - Ismail Sabri

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan bahawa keseluruhan kandungan artikel yang mengaitkannya dengan kejadian menimpa anak Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli serta satu skandal adalah palsu dan berniat jahat untuk menjatuhkan reputasi serta nama baik beliau.

Menurutnya, pihak berkuasa perlu menjalankan siasatan terperinci dan mengambil tindakan tegas terhadap pemilik atau pengendali akaun Facebook berkenaan serta mana-mana pihak yang menyebarkan artikel terbabit.

Ahli Parlimen Bera itu juga memaklumkan bahawa beliau telah mengarahkan peguam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak terlibat.

“Pada Isnin lalu, Setiausaha Akhbar saya telah membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur terhadap sebuah laman Facebook yang memuat naik dua artikel palsu serta fitnah mengaitkan saya dengan kejadian menimpa anak Ahli Parlimen Pandan dan skandal membabitkan sebuah syarikat swasta.

“Satu laporan juga telah dibuat kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan pihak Facebook supaya tindakan segera diambil terhadap laman serta pengendalinya,” katanya dalam satu kenyataan media pada Rabu.

Terdahulu, Rafizi turut menafikan dakwaan kononnya serangan terhadap anaknya mempunyai kaitan dengan Ismail Sabri ataupun bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, dengan menyifatkan tuduhan itu sebagai cubaan jahat untuk mengalihkan perhatian daripada isu sebenar.

Sehubungan itu, Ismail Sabri berterima kasih kepada Rafizi atas penjelasan berhubung dakwaan berkenaan.

Sebelum ini, dalam perkongsian di Facebook, Rafizi mendedahkan seorang lelaki telah mengheret anaknya yang berusia 12 tahun dan mencucuk dengan jarum suntikan secara tiba-tiba ketika mahu memasuki kereta untuk meninggalkan sebuah pusat beli-belah di Putrajaya pada jam 1.45 tengah hari, Rabu lalu.

Beliau mendakwa, semakan mendapati dua lelaki yang menunggang sebuah motosikal mengekori kereta isterinya dan berpandangan bahawa individu terbabit mungkin telah merancang serangan berkenaan lebih awal.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!