Peniaga rugi RM780 ditipu resit palsu 'online'

PORT DICKSON – Seorang peniaga di daerah ini kerugian RM780 selepas diperdaya sepasang lelaki dan wanita yang menggunakan helah resit pembayaran dalam talian palsu.
Mangsa yang bekerja di sebuah pasar raya berkongsi pengalaman itu di media sosial, memaklumkan kejadian berlaku pada Isnin lalu.
“Pasangan terbabit datang ke premis membeli enam paket Nescafé serta tujuh paket Milo dengan jumlah keseluruhan RM780.
“Pada mulanya mereka mahu membayar menggunakan kod QR, namun kemudian bertanya sama ada boleh membuat pindahan dalam talian. Saya benarkan kerana nombor akaun syarikat memang terpapar pada komputer kaunter,” katanya.
Menurut mangsa, selepas kononnya membuat bayaran, pasangan itu menunjukkan resit transaksi dalam talian sebelum beredar.
Bagaimanapun, dia mengakui kecuaian kerana tidak membuat semakan serta-merta sama ada transaksi berjaya atau tidak. Hanya selepas berbincang dengan majikan, dia menyedari tiada kemasukan wang, sebaliknya hanya terdapat permintaan pembayaran (request money) pada akaun syarikat.
“Saya tidak tahu apa motif mereka. Harap sesiapa yang terserempak dengan pasangan ini supaya berhati-hati,” katanya yang sudah membuat laporan polis.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan kehadiran kedua-dua suspek di pasar raya terbabit turut dikongsi di media sosial.
Ringkasan AI
- Seorang peniaga di Port Dickson kerugian RM780 akibat ditipu dengan resit pembayaran dalam talian palsu
- Kedua-dua pelaku, seorang lelaki dan wanita, membeli enam paket Nescafé dan tujuh paket Milo
- Mula-mula ingin membayar menggunakan kod QR, kemudian meminta untuk transfer dalam talian
- Mangsa terpedaya selepas pelaku menunjukkan resit transaksi dalam talian sebelum meninggalkan premis
- Rakaman CCTV kedua-dua suspek dikongsi di media sosial dan mangsa telah membuat laporan polis
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

