Latihan persediaan perang sebenar Rusia-Belarus?

BARYSAW - Pasukan tentera Rusia dan Belarus mengadakan latihan ketenteraan bersama digelar Zapad-2025 sebagai persediaan untuk menghadapi sebarang kemungkinan kempen pencerobohan ke atas wilayah mereka, di tengah-tengah situasi yang semakin tidak menentu di rantau Eropah.
Ketika ini, sayap timur Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) juga gusar tentang potensi serangan berskala besar susulan pergerakan ribuan askar, beberapa hari selepas dron didakwa milik Moscow ditembak jatuh di ruang udara Poland.

Warsaw turut memberi amaran tentang ancaman 'konflik terbuka' yang mungkin tercetus pada bila-bila masa sejak Perang Dunia Kedua berakhir.
"Terlalu banyak khabar angin tersebar sejak minggu lalu yang kononnya kami mengancam NATO dan kami akan menceroboh negara Baltik. Tuduhan itu sememangnya mengarut," kata Menteri Pertahanan Belarus, Viktor Khrenin yang mengawasi latihan ketenteraan itu di pangkalan tentera Barysaw, timur Minsk.
Susulan risiko perang lebih meluas meletus, Poland, Latvia dan Lithuania yang kesemuanya bersempadan dengan Belarus bertindak memperkukuh keselamatan masing-masing termasuk menutup kawasan perbatasan serta mengadakan latihan tindak balas.
Minsk turut memberi kebenaran kepada petugas media untuk membuat liputan tentang pameran ketenteraan pada Isnin malah ia turut dihadiri atase tentera dari Amerika Syarikat (AS) yang diraikan sebagai tetamu kehormat.
Latihan 'sederhana'
Dari platform penonton, mereka dapat melihat latihan kenderaan penyamaran seperti kereta kebal, helikopter di medan tempur rekaan dan askar yang ditempatkan di kubu bersama senjata masing-masing termasuk pelancar artileri.
Tetapi, petugas media tidak diberikan akses untuk menyaksikan latihan ketenteraan yang diadakan di Laut Barents dan Baltik serta wilayah Grodna bersempadan Warsaw dan Vilnius.
Belarus menyifatkan latihan itu sebagai 'sederhana' kerana hanya disertai kira-kira 7,000 tentera bersama 1,000 askar dari Moscow.

Ia juga dikatakan bayangan edisi 2021, beberapa bulan sebelum Rusia melancarkan kempen pencerobohan ke atas Kiev melibatkan kira-kira 200,000 anggota tentera pada masa itu.
Khrenin bagaimanapun mengaitkan jumlah penyertaan askar membuktikan kesediaan Minsk untuk meredakan ketegangan dengan negara-negara jiran.
"Kami tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan. Kami hanya bersedia untuk mempertahankan negara kami," tegasnya.
Selain AS, Belarus mengesahkan 23 negara lain turut menghantar wakil pemerhati ke Barysaw, kebanyakannya sekutu tradisional Moscow dan Minsk. - AFP
Ringkasan AI
- Pasukan tentera Rusia dan Belarus mengadakan latihan ketenteraan bersama Zapad-2025 sebagai persediaan menghadapi kemungkinan pencerobohan
- NATO gusar tentang potensi serangan berskala besar susulan pergerakan ribuan askar dan penembakan dron yang didakwa milik Moscow
- Poland, Latvia, dan Lithuania memperkukuh keselamatan dan menutup kawasan perbatasan sebagai tindak balas terhadap risiko perang
- Latihan ketenteraan itu dianggap sebagai 'sederhana' dengan penyertaan kira-kira 7,000 tentera Belarus dan 1,000 askar dari Moscow
- Belarus memberi akses kepada petugas media dan atase tentera dari AS sebagai tetamu kehormat untuk meliput pameran ketenteraan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

