Peserta Global Sumud Flotilla kongsi rahsia kekuatan emosi dalam misi ke Gaza

SHAH ALAM – Kumpulan sokongan emosi yang diwujudkan menerusi sesi mental hygiene setiap pagi menjadi sumber kekuatan utama peserta Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza dalam menempuh cabaran misi kemanusiaan.
Peserta, Iylia Balqis Suhaimi berkata sesi itu diadakan selepas mesyuarat pagi dan memberi ruang kepada peserta berkongsi cara mengekalkan keadaan mental positif bagi menghadapi perjalanan yang memenatkan.
“Sepanjang pelayaran yang memenatkan itu dan kemudian kita tidak tahu apa pengakhirannya, jadi penting untuk ada satu kumpulan sokongan bagi memastikan kita dalam keadaan emosi yang stabil.
"Jika apa-apa berlaku, kita semua bersedia," katanya menerusi hantaran video di Facebook pada Selasa.
Beliau turut berkongsi pengalaman apabila ketua misi sendiri menunjukkan sokongan moral dengan mengajaknya berdoa bersama di dalam bilik selepas satu sesi berkenaan.
"Dia suruh saya pegang tangan sebab dia hendak berdoa. Kami berdua menangis dan berkongsi perasaan," ujarnya.
Iylia Balqis menegaskan sesi dan sokongan emosi itu penting kerana ramai peserta dibayangi ketakutan serta kebimbangan sama ada ditahan, dipenjara atau dibunuh.
“Saya cakap kepadanya, salahkah saya kalau saya mahu berharap pelayaran itu adalah pelayaran terakhir. Dia setuju, dia angguk setuju. Kami berdua berharap ia adalah pelayaran terakhir membawa peserta yang ketakutan dan kebimbangan,” jelasnya.
Menurutnya, harapan selepas ini adalah supaya jika ada bot lain, ia hanya membawa bantuan kemanusiaan, perubatan dan makanan bagi membangunkan kembali bumi Palestin, bukannya lagi peserta yang hidup dalam ketakutan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

