Kumpulan A Global Sumud Flotilla teruskan perjalanan ke lautan Gaza dari Tunisia

KUALA LUMPUR - Delegasi Malaysia Kumpulan A konvoi Global Sumud Flotilla (GSF) yang sebelum ini berlabuh di Tunisia, kini meneruskan pelayaran menuju ke lautan Gaza.
Menerusi perkongsian terkini di laman Instagram Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) pada Rabu memaklumkan kumpulan itu akan bergabung dengan Kumpulan B yang sedang menanti mereka di lautan.
"Setelah mengharungi gelombang ombak dari Barcelona hingga ke Tunisia, Delegasi Malaysia Kumpulan A tetap teguh berlayar dengan satu tekad yang tidak tergugat.
"Gabungan dua kumpulan ini bukan sekadar pelayaran biasa tetapi sebuah pernyataan bahawa suara umat tidak boleh dipadamkan. Inilah ikhtiar untuk menghentikan perang, menolak kebuluran dan memaksa dunia membuka koridor kemanusiaan yang selama ini disekat tanpa belas,” menurut Mapim.
Semua sukarelawan dari Malaysia bernaung di bawah panji Sumud Nusantara diketuai Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah penaung Sumud Nusantara melibatkan Malaysia, Indonesia, Pakistan, Bangladesh, Sri Lanka, Maldives, Filipina dan Thailand.
Pelayaran GSF merentasi Laut Mediteranean dengan membawa makanan, ubat-ubatan dan mesej keamanan dijadualkan tiba di perairan Gaza pada pertengahan bulan ini.
Secara keseluruhan, GSF membabitkan lebih 1,000 sukarelawan yang menaiki hampir 70 bot dengan satu matlamat iaitu memecah kepungan terhadap Gaza.
Pelayaran keamanan GSF diharap mampu menarik perhatian kerajaan seluruh dunia untuk memberi tekanan kepada Israel sehingga genosid terhadap Gaza dihentikan dan bantuan kemanusiaan dibenarkan masuk.
GSF menghimpunkan gabungan antarabangsa dari Eropah, Asia, Afrika Selatan, Amerika Latin dan Timur Tengah, dengan semua delegasi menekankan prinsip tanpa keganasan serta peranan kapal sebagai simbol solidariti masyarakat dunia terhadap krisis Gaza. - Bernama
Ringkasan AI
- Delegasi Malaysia Kumpulan A konvoi Global Sumud Flotilla meneruskan pelayaran ke lautan Gaza setelah berlabuh di Tunisia
- Kumpulan ini akan bergabung dengan Kumpulan B untuk membentuk pernyataan suara umat tidak boleh dipadamkan dengan tujuan menghentikan perang dan membuka koridor kemanusiaan
- Semua sukarelawan dari Malaysia bernaung di bawah panji Sumud Nusantara dengan Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia sebagai ketua
- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah penaung Sumud Nusantara yang melibatkan beberapa negara Asia
- GSF dengan lebih 1,000 sukarelawan dan hampir 70 bot bertujuan memecah kepungan terhadap Gaza dan menarik perhatian kerajaan dunia untuk menghentikan genosid
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
