TLDM operasi dua jenis misil antipermukaan, NSM dari Norway diterima Mac ini

KUALA LUMPUR - Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan mengoperasikan dua jenis Surface to Surface Missiles (SSM) atau misil antipermukaan termasuk Naval Strike Missile (NSM) dari Norway yang akan diterima pada Mac ini.
Kementerian Pertahanan (Mindef), memaklumkan selain itu misil ATMACA dari Turkiye pula sedang dalam proses perolehan dan dijangka diterima pada 2028.
"Mindef telah merangka pelan penggantian secara berperingkat bagi keupayaan peluru berpandu antikapal TLDM, dengan menilai platform peluru berpandu generasi baharu termasuk NSM yang mempunyai keupayaan jarak lebih jauh, kebolehan menghindari radar yang lebih tinggi serta integrasi rangkaian sensor moden.
"Pendekatan berperingkat dan berhemah ini mencerminkan komitmen kerajaan untuk memodenkan keupayaan TLDM secara realistik dan mampan, selaras dengan keperluan keselamatan maritim negara dan kemampuan fiskal semasa,” menurut Mindef dalam jawapan bertulis menerusi laman rasmi Parlimen.
Jawapan itu dikemukakan kepada Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) yang ingin tahu rancangan penggantian peluru berpandu jenis Exocet MM40 Blok II (berusia 29 tahun) yang usang dan tidak relevan lagi digunakan untuk kapal tempur milik TLDM serta jangkaan program penggantian itu selesai.
Dalam soalan berasingan, Mindef memaklumkan jadual pentauliahan Kapal Tempur Pesisir 1 (LCS 1) dipinda ke Disember 2026 manakala LCS 2 pula pada Ogos tahun hadapan, berdasarkan maklum balas oleh Lumut Naval Shipyard (LUNAS) yang dikemukan kepada Pasukan Projek LCS TLDM.
Menurut kementerian itu, bagi kapal berikutnya pentauliahan LCS 3 kekal pada Disember 2027, LCS 4 (Ogos 2028) dan LCS 5 (April 2029).
"Hingga 25 Dis 2025, kementerian dimaklumkan oleh LUNAS bahawa kemajuan keseluruhan Projek LCS telah mencapai 75.73 peratus sebenar berbanding 81.57 peratus perancangan,” menurut jawapan Mindef kepada Nik Nazmi Nik Ahmad (PH-Setiawangsa) yang ingin tahu status terkini proses ujian dan pentauliahan LCS. - Bernama
Ringkasan AI
- TLDM akan mengoperasikan dua jenis SSM termasuk NSM dari Norway yang akan diterima pada Mac ini
- Misil ATMACA dari Turkiye sedang dalam proses perolehan dan dijangka diterima pada 2028
- Mindef merangka pelan penggantian peluru berpandu antikapal TLDM dengan menilai platform peluru berpandu generasi baharu
- Pendekatan penggantian ini mencerminkan komitmen kerajaan untuk memodenkan keupayaan TLDM secara realistik dan mampan
- Jadual pentauliahan Kapal Tempur Pesisir dipinda dengan LCS 1 pada Disember 2026 dan LCS 2 pada Ogos tahun hadapan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
