Detik ngeri tinggal parut emosi seumur hidup

Trauma zaman kecil bukan sekadar tangisan seketika, sebaliknya boleh merencatkan perkembangan mental jika tidak diberi perhatian segera. - Gambar hiasan
Trauma zaman kecil bukan sekadar tangisan seketika, sebaliknya boleh merencatkan perkembangan mental jika tidak diberi perhatian segera. - Gambar hiasan
A
A
A

Insiden menyayat hati yang berlaku di Jalan Pelabuhan Barat arah Pulau Indah menghala ke Klang baru-baru ini membuka dimensi lain terhadap isu trauma dalam kalangan kanak-kanak. Seorang kanak-kanak menjadi saksi utama detik tragis apabila ibunya maut digilis treler di depan mata.

Kejadian berlaku ketika mangsa, seorang wanita warga Indonesia menunggang motosikal bersama suami dan anaknya. Mangsa maut serta-merta di tempat kejadian, manakala anak dan suaminya terselamat.

Melalui rakaman papan pemuka (dashcam) kenderaan belakang yang memaparkan situasi kemalangan itu, kelihatan penunggang motosikal mengalihkan mayat isteri dan mengangkat anaknya yang tertindih motosikal dalam keadaan kekalutan.

Kelihatan juga pemandu treler menangis sambil memeluk kanak-kanak ini yang kelihatan tidak tentu arah selepas melihat ibu maut di depan mata.

Melalui ruangan komen, difahamkan pasangan tersebut memiliki empat orang anak. Dua daripadanya berusia 15 dan 10 tahun, manakala dua lagi masih kecil. Yang lebih mengerikan ialah kesan jangka panjang yang bakal ditanggung si kecil yang menyaksikan sendiri tragedi itu.

Ia dapat dilihat melalui video viral di TikTok yang memperlihatkan kanak-kanak ini menutup wajah sambil menangis sementara seorang lagi berada dalam keadaan tenang sepanjang proses mengkafankan jenazah ibunya.

Ketika itu, dilihat seorang bapa berwajah sugul sambil mendukung anak kecilnya bersama anak-anak lain.

Pakar psikologi menyifatkan kejadian sebegini boleh mengakibatkan gangguan stres pasca trauma (PTSD) kepada kanak-kanak.

Menurut garis panduan Persatuan Psikologi Amerika (APA), trauma yang tidak ditangani boleh mencetuskan kesan emosi berpanjangan termasuk ketakutan melampau, kemurungan, rasa bersalah serta kesukaran berfungsi secara normal dalam kehidupan seharian.

Artikel Berkaitan:

Bagi kanak-kanak, kesan ini lebih parah kerana perkembangan kognitif dan emosi mereka masih rapuh. Trauma zaman kecil bukan sekadar tangisan seketika, sebaliknya boleh merencatkan perkembangan mental jika tidak diberi perhatian segera.

Antara tanda awal trauma yang perlu diawasi termasuk perubahan tingkah laku mendadak, kesukaran tidur, hilang selera makan atau kehilangan minat terhadap aktiviti yang sebelum ini disukai.

Menurut pakar psikologi kanak-kanak, langkah awal yang disarankan ialah memberikan persekitaran selamat dan stabil kepada mangsa. Di samping itu, intervensi profesional seperti terapi psikologi, kaunseling keluarga dan terapi bermain boleh membantu anak memproses pengalaman tersebut dengan lebih sihat.

Dalam pada itu, peranan ahli keluarga terdekat sangat penting. Mereka perlu menjadi pendengar empati, mengelak daripada memaksa anak bercerita dan memberi ruang untuk anak mengungkapkan perasaannya secara sukarela.

Sekolah dan komuniti juga tidak wajar berdiam diri. Guru dan pihak pentadbiran perlu peka terhadap perubahan tingkah laku kanak-kanak pasca trauma. Sokongan moral di sekolah mampu menjadi pelengkap kepada proses pemulihan emosi anak.

Kes ini bukan sahaja mengundang simpati, malah harus menjadi pemangkin kepada peningkatan kesedaran masyarakat mengenai kesihatan mental kanak-kanak. Trauma bukan isu remeh, lebih-lebih lagi apabila melibatkan pengalaman ngeri seperti kehilangan orang tersayang dalam keadaan sebegitu tragis.

Tragedi ini mengingatkan kita bahawa selain aspek keselamatan jalan raya, aspek pemulihan psikologi selepas insiden juga tidak boleh dipandang ringan. Trauma emosi yang tidak dirawat mampu menjadi luka batin yang membusuk dalam diam.

Tragedi menyaksikan ibu maut digilis treler bukan hanya peristiwa sementara, tetapi boleh menjadi batu loncatan kepada trauma yang mengakar jika tidak ditangani dengan betul. Namun, dengan intervensi tepat, kesedaran lembut oleh orang dewasa di sekeliling dan sokongan profesional, anak itu berpeluang untuk pulih dan terus membesar dengan tabah dan sihat secara psikologi.

Semoga si kecil ini diberi ruang dan sokongan secukupnya untuk sembuh dan membesar dengan kekuatan yang terbina daripada kasih sayang, bukan trauma yang membelenggu.

*Juliana Rosdi ialah Penyunting Sinar Harian

Ringkasan AI

  • Insiden menyayat hati melibatkan kanak-kanak menyaksikan ibunya maut digilis treler di Jalan Pelabuhan Barat arah Pulau Indah menghala ke Klang
  • Kanak-kanak ini menjadi saksi utama dengan ayahnya terselamat sementara ibunya maut di tempat kejadian
  • Pemandu treler menangis memeluk kanak-kanak yang keliru selepas menyaksikan ibu maut
  • Pakar psikologi menyatakan kejadian traumatik seperti ini boleh mengakibatkan gangguan stres pasca trauma (PTSD) kepada kanak-kanak
  • Langkah pemulihan mencakupi persekitaran selamat, intervensi profesional seperti terapi psikologi, dan sokongan moral dari keluarga serta komuniti

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!