Pas wajar pimpin Perikatan Nasional

Muktamar Dewan DPPM, Jumaat lalu telah meluluskan satu usul bersejarah yang mendesak Pas mempersiapkan parti untuk memimpin PN dan menampilkan calon Perdana Menteri daripada parti itu. Gambar hiasan
Muktamar Dewan DPPM, Jumaat lalu telah meluluskan satu usul bersejarah yang mendesak Pas mempersiapkan parti untuk memimpin PN dan menampilkan calon Perdana Menteri daripada parti itu. Gambar hiasan
A
A
A

PADA Jumaat lalu, Muktamar Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM) telah meluluskan satu usul bersejarah yang mendesak Pas mempersiapkan parti untuk memimpin Perikatan Nasional (PN) dan menampilkan calon Perdana Menteri daripada parti itu.

Usul ini dibentangkan oleh Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas, Khairul Nadzir Helmi Azhar dalam sesi perbahasan dan telah mendapat sokongan sebulat suara daripada lebih 750 perwakilan yang hadir.

Usul penuh ini, yang akan dibawa oleh ke Muktamar Pas Pusat Kali Ke-71 hari ini dan esok menekankan bahawa Pas perlu mempersiapkan parti untuk memimpin PN dan menampilkan calon Perdana Menteri.

Asas kepada cadangan ini adalah kekuatan politik semasa yang nyata, di samping legitimasi sejarah, pengalaman luas dalam pentadbiran, serta tawaran kestabilan politik jangka panjang.

Usul ini turut menggariskan beberapa asas pertimbangan penting. Pertama, senioriti Pas dalam politik Malaysia telah membuktikan kredibiliti dan kestabilan parti.

Sama ada ketika menjadi pembangkang atau ketika mentadbir negeri, Pas tetap konsisten dan teguh dalam perjuangan.

Pencapaian terkini membuktikan kekuatan sebenar Pas, termasuk kejayaan meraih 43 kerusi Parlimen dalam PRU-15, menyumbang kepada kemenangan keseluruhan PN sebanyak 146 kerusi Parlimen, penguasaan empat negeri secara langsung iaitu Perlis, Kedah, Kelantan, dan Terengganu, serta kejayaan meraih 126 kerusi DUN dalam PRN enam negeri, jumlah tertinggi dalam PN.

Semua ini menggambarkan pengaruh serta sokongan akar umbi yang kukuh terhadap Pas

Kedua, masa depan Malaysia amat memerlukan kepimpinan yang bersih, berintegriti, berwibawa, serta berlandaskan prinsip Islam yang mampu menjamin keadilan dan kesejahteraan untuk semua.

Artikel Berkaitan:

Pas, sebagai parti yang konsisten berpegang pada prinsip Islam, diyakini dapat menyediakan calon Perdana Menteri yang memenuhi keperluan kepimpinan sebegini.

Ketiga, Pas kini berada pada kedudukan strategik dalam PN. Menampilkan calon Perdana Menteri daripada parti ini akan mencerminkan legitimasi dan kekuatan sebenar Pas, selain menegaskan peranannya sebagai teras utama dalam politik nasional.

Keempat, kejayaan Pas dalam pilihan raya membuktikan mandat rakyat yang semakin kukuh.

Justeru, Pas bukan sahaja layak, malah berada pada kedudukan terbaik untuk menawarkan calon Perdana Menteri yang berwibawa, bersih dan dipercayai rakyat.

Bagi memastikan kesediaan penuh, usul ini mengemukakan cadangan yang jelas. Pas perlu segera mempersiapkan jentera parti di semua peringkat agar mampu mengambil alih peranan utama dalam PN.

Selain itu, Pas disarankan menampilkan calon Perdana Menteri daripada kepimpinan parti dalam rundingan rasmi bersama komponen PN.

Langkah ini bukan sahaja menjadi simbol kesanggupan Pas untuk memimpin, tetapi juga mencerminkan kematangan politik parti berdasarkan pencapaian besar yang telah direkodkan.

Menariknya, usul ini turut mendapat sokongan penuh daripada pimpinan tertinggi Pas.

Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin, secara terbuka menegaskan bahawa sudah tiba masanya Pas mengambil peranan utama dalam PN dengan menampilkan calon Perdana Menteri daripada parti itu.

Beliau menjelaskan bahawa usul ini bukanlah satu cadangan baharu, sebaliknya merupakan kesinambungan kepada hasrat yang telah beliau suarakan sejak dua tahun lalu.

Menurut Hashim, Pas mesti berani membuat satu keputusan dasar di peringkat PN, hasil daripada rundingan rasmi dengan parti-parti komponen, agar kedudukan parti dalam gabungan lebih jelas dan dihormati.

Sokongan ini turut diperkukuh oleh kenyataan Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, yang menegaskan bahawa detik untuk PAS mengambil alih kepimpinan PN sebenarnya telah tiba.

Menurut beliau, kepimpinan dalam PN perlu digerakkan melalui semangat muafakat politik yang tulen, dengan menekankan rundingan dan kesepakatan yang matang antara parti-parti komponennya.

Ahmad Samsuri menjelaskan bahawa apa yang paling penting ketika ini ialah memperkukuh muafakat politik dalam PN agar gabungan tersebut benar-benar kukuh dan bersatu hati dalam mendepani cabaran pilihan raya akan datang.

Pandangan peribadi saya, Pas memang dilihat lebih wajar memimpin PN berbanding Bersatu kerana Pas mempunyai kerusi Parlimen terbanyak iaitu 43 kerusi, berbanding hanya 31 kerusi milik Bersaru.

Pas juga mengetuai kerajaan di empat negeri, selain memiliki pengalaman memerintah yang lebih lama dan dominan di Kelantan, Terengganu, dan Kedah.

Berbanding itu, Bersatu hanya pernah mengetuai kerajaan negeri untuk tempoh yang singkat dan tidak dominan, seperti yang berlaku di Johor, Kedah dan Perak ketika era PH 2018–2020.

Selain itu, Pas juga mempunyai pengalaman luas mengetuai kerjasama politik seperti Barisan Alternatif (1999–2008) serta menjadi rakan penting dalam Pakatan Rakyat (2008–2015).

Pengalaman ini membolehkan Pas memahami selok-belok politik blok pembangkang dengan lebih mendalam.

Dari sudut kekuatan jentera dan akar umbi, Pas jauh lebih tersusun dan mantap. Kepimpinan Pas juga lebih solid serta tidak tercalar dengan krisis dalaman, berbeza dengan Bersatu yang sering dipalit perbalahan kepimpinan dan isu salah laku.

Saya jangkakan usul ini akan diluluskan oleh Muktamar Tahunan Pas ke-71. Melaluinya, PN dijangka akan menjadi lebih kuat dan mantap jika Pas mengambil alih tampuk kepimpinan.

Dengan pengalaman pentadbiran yang panjang, penguasaan kerusi Parlimen dan empat negeri serta imej kepimpinan yang bersih, Pas diyakini mampu menawarkan calon Perdana Menteri yang berwibawa, stabil dan berintegriti.

Jika Pas tidak mengetuai PN sekalipun sekurang-kurangnya kepimpinan PN perlu diperkukuh melalui model kepimpinan bersama, dengan Pas dan Bersatu berkongsi jawatan Pengerusi, sebagai langkah strategik bagi menghadapi cabaran PRU-16 dengan lebih yakin dan berkesan.

*Mohd Afifi Abdul Razak ialah Felo The Future Research dan penganalisis politik tempatan

Ringkasan AI

  • Muktamar Dewan Pemuda Pas Malaysia meluluskan usul Pas mempersiapkan parti memimpin Perikatan Nasional dengan calon Perdana Menteri sendiri
  • Usul mendapat sokongan sebulat suara dari lebih 750 perwakilan
  • Kekuatan politik semasa, pengalaman pentadbiran, dan tawaran stabilitas politik menjadi asas usul
  • Pas menunjukkan kekuatan dengan meraih 43 kerusi Parlimen dalam PRU-15 dan memerintah empat negeri
  • Pas dilihat lebih layak memimpin PN berbanding Bersatu kerana memiliki lebih banyak kerusi Parlimen dan pengalaman memerintah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!