Perlukah KWSP bayar zakat untuk pencarum?

KWSP boleh melaksanakan kewajipan zakat bagi pihak pencarum, cadangan potongan zakat automatik seperti yang diamalkan oleh Tabung Haji merupakan langkah terbaik.
KWSP boleh melaksanakan kewajipan zakat bagi pihak pencarum, cadangan potongan zakat automatik seperti yang diamalkan oleh Tabung Haji merupakan langkah terbaik.
A
A
A

PERKARA pertama yang timbul di fikiran selepas mengeluarkan wang termasuk dividen daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) antaranya pelaksanaan kewajipan zakat seperti yang diketahui ramai.

Namun, berapa ramaikah pencarum yang berbuat demikian?

Pada masa yang sama, muncul persoalan lain iaitu mengapakah KWSP tidak membayar zakat bagi pihak pencarum sebagaimana telah diamalkan oleh Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) sejak sekian lama?

Menurut Eksekutif Kanan Unit Syariah dan Antarabangsa, Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Ustaz Muhammad Furqan Abdullah, perkara tersebut boleh dilaksanakan KWSP sekiranya bertepatan dengan taksiran zakat di agensi mengurus zakat negeri-negeri selain ketersediaan sistemnya.

Mengulas lanjut beliau berkata, sebelum melaksanakan cadangan tersebut, terlebih dahulu pihak KWSP perlu mengadakan sesi libat urus dengan agensi mengurus zakat bagi memastikan kaedah taksiran selari dengan amalan sedia ada.

USTAZ MUHAMMAD FURQAN
USTAZ MUHAMMAD FURQAN

“Selain itu, perlu ada ketetapan fatwa berkaitan perkara tersebut di peringkat negeri-negeri terlebih dahulu.

“Para pencarum pula kemudiannya diberikan bukti pembayaran zakat sama ada berupa resit rasmi ataupun penyata bayaran zakat apabila ia dilaksanakan kelak,” jelasnya ketika dihubungi Sinar Islam Plus.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun ujarnya, jika KWSP melaksanakan kewajipan zakat bagi pihak pencarum, maka individu tersebut tidak perlu lagi membuat bayaran zakat selepas pengeluaran simpanan KWSP.

“Ini kerana bagi mengelakkan bayaran zakat dilakukan dua kali bagi harta yang sama.

“Namun perlu diingatkan bahawa pelaksanaan pembayaran zakat oleh KWSP ini hanya terpakai bagi pencarum yang memegang akaun syariah sahaja,” katanya.

Jelasnya, dividen KWSP perlu dizakatkan memandangkan ia dianggap sebagai harta yang berkembang namun ia tertakluk kepada syarat tertentu iaitu milikan sempurna dan cukup nisabnya.

Tanggungjawab pencarum

Sementara itu, Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Mohd Sukki Othman menjelaskan, wang KWSP termasuk dividen merupakan harta milik penuh pencarum, sekali gus wajib dikenakan zakat apabila cukup nisab dan haul.

“KWSP setakat ini tidak mempunyai mekanisme seperti Tabung Haji yang menolak zakat secara automatik sebelum mengagihkan hibah.

DR MOHD SUKKI
DR MOHD SUKKI

“Maka tanggungjawab membayar zakat pencarum KWSP sepenuhnya terletak pada bahu pencarum,” katanya.

Mengulas status kepatuhan syariah KWSP, beliau menegaskan, ia bergantung kepada pilihan pencarum.

“Jika pencarum memilih Simpanan Shariah, pelaburan dibuat sepenuhnya mengikut garis panduan syariah.

“Namun, sekiranya kekal dengan Simpanan Konvensional, ia bercampur antara instrumen patuh dan tidak patuh syariah,” katanya.

Dalam hal itu, Dr Mohd Sukki menjelaskan, Mesyuarat Khas Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang pada 2022 memutuskan bahawa dividen daripada Simpanan Konvensional perlu melalui proses pembersihan sebelum dicampur dengan wang pokok untuk tujuan zakat.

“Pencarum KWSP yang beragama Islam juga wajib menukar status akaun Simpanan Konvensional kepada Simpanan Shariah dengan segera,” jelasnya.

Bila pula zakat perlu dibayar? Menjawab persoalan itu, jelas beliau, wang KWSP hanya wajib dizakatkan selepas ia dikeluarkan kerana ketika itu ia menjadi milik sempurna pencarum.

“Namun, ulama berpendapat, zakat harta boleh dikeluarkan lebih awal sekiranya syarat harta telah mencukupi nisabnya,” katanya.

Potongan zakat automatik, langkah terbaik

Pada masa sama, Dr Mohd Sukki menyifatkan cadangan potongan zakat automatik seperti yang diamalkan oleh Tabung Haji sebagai langkah terbaik.

Katanya, inisiatif itu bukan sahaja memudahkan pencarum, malah memastikan kewajipan zakat dapat ditunaikan dengan lebih teratur dan berkesan.

“Apatah lagi Ahli Lembaga KWSP yang dilantik sebagai wakil dan pemegang amanah wajib membayar zakat perniagaan ke atas aset dan pelaburan Simpanan Shariah bagi pencarum yang beragama Islam pada setiap tahun.

“Apabila sistem ini dilaksanakan, maka bagi pencarum yang memilih Simpanan Shariah, tiada lagi kewajipan untuk membayar zakat memandangkan zakat perniagaan sudah dibayar oleh KWSP bagi pihak ahli.

“Seperkara lagi, langkah mengambil dividen pencarum untuk dizakatkan juga tidak dianggap bersifat paksaan kerana ia merupakan kewajipan syarak dan bukan cukai tambahan,” katanya.

KWSP boleh melaksanakan kewajipan zakat bagi pihak pencarum, cadangan potongan zakat automatik seperti yang diamalkan oleh Tabung Haji merupakan langkah terbaik.

 

 

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!