Wang KWSP RM400,000 lesap, penyelia kilang diperdaya sindiket penyamaran

KEMAMAN – Seorang penyelia kilang berusia 59 tahun berputih mata apabila wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berjumlah RM400,000 miliknya lesap selepas diperdaya sindiket penyamaran melalui panggilan telefon.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli berkata, kejadian itu berlaku apabila mangsa menerima panggilan daripada individu yang kononnya menyamar sebagai ejen insurans dan pegawai polis pada 31 Ogos 2024.
Menurutnya, suspek mendakwa kononnya mangsa sedang disiasat oleh pihak polis kerana terlibat dalam membuat tuntutan insurans palsu di sebuah hospital swasta di Selangor.
"Mangsa kemudian diarahkan membuka akaun simpanan di sebuah bank dan memindahkan wang KWSP berjumlah RM400,000 ke akaun tersebut, selain turut menyerahkan akses penggunaan akaun kepada suspek.
"Hasil siasatan mendapati terdapat 21 transaksi pemindahan wang ke lapan akaun bank berbeza, dengan jumlah keseluruhan RM400,000 antara 5 hingga 11 September 2024," katanya ketika dihubungi di sini pada Ahad.
Tambah beliau, mangsa sekali lagi terperdaya apabila membuat 56 transaksi ke 30 akaun bank berbeza melibatkan jumlah keseluruhan RM137,000 antara 9 Februari hingga 12 September 2025.
"Mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas suspek gagal dihubungi, dengan kerugian keseluruhan dialaminya berjumlah RM537,000," katanya.
Beliau berkata, mangsa kemudiannya tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman pada Ahad dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Dalam pada itu, Mohd Razi menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan panggilan telefon daripada pihak yang tidak dikenali.
"Orang ramai disaran membuat semakan nombor telefon atau akaun bank yang meragukan melalui aplikasi Semak Mule. Selain itu, hubungi talian National Scam Response Centre (NSRC) 997 untuk pengesahan sebelum melakukan sebarang transaksi," katanya.
Ringkasan AI
- Penyelia kilang berusia 59 tahun kehilangan RM400,000 dari KWSP akibat ditipu sindiket melalui telefon
- Mangsa diarahkan membuka akaun bank baru dan memindahkan wang KWSP ke akaun itu serta menyerahkan akses kepada suspek
- Sejumlah 21 transaksi pemindahan wang ke lapan akaun bank berlainan melibatkan RM400,000 dilakukan dari 5 hingga 11 September 2024
- Mangsa melakukan 56 transaksi lagi ke 30 akaun bank yang berlainan dengan jumlah RM137,000 antara 9 Februari dan 12 September 2025
- Keseluruhan kerugian yang dialami oleh mangsa adalah RM537,000 dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
