MCA gesa kerajaan semak semula RUU PSB, wujudkan saluran dialog lebih inklusif

Laporan Sinar Harian pada 11 September 2025.
Laporan Sinar Harian pada 11 September 2025.
A
A
A

SHAH ALAM - MCA menggesa kerajaan menyemak semula Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) susulan insiden kekecohan yang berlaku di Kampung Sungai Baru, baru-baru ini.

Naib Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng berkata, insiden yang menyebabkan seorang pegawai polis cedera jelas menunjukkan wujudnya kelemahan dalam pelaksanaan dasar pembangunan semula bandar, khususnya melibatkan kawasan yang telah berpenghuni.

“Dalam memajukan pemulihan bandar dan pembangunan semula kawasan lama, penting untuk melindungi hak penduduk, keperluan pembangunan, dan kepentingan ekonomi komuniti yang terlibat.

“Tanpa perlindungan yang mencukupi serta libat urus yang bermakna, perhimpunan dan konflik seperti ini mungkin akan terus berlaku.

“Kerajaan perlu memastikan mekanisme komunikasi dan perundingan yang mencukupi agar suara rakyat didengar dan diambil kira,” katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman dilaporkan cedera ketika mengawal keadaan semasa operasi pengosongan bangunan di Kampung Sungai Baru, pada Khamis.

Beliau cedera akibat kekecohan yang berlaku susulan rempuhan sekumpulan individu yang mendesak untuk memasuki kawasan operasi.

Terdahulu, operasi pengosongan bangunan itu menjadi kecoh apabila sekumpulan individu mula mendesak pihak berkuasa untuk membenarkan mereka memasuki kawasan perumahan berkenaan.

Dalam pada itu, Jeck Seng yang juga Ahli Parlimen Tanjung Piai menegaskan bahawa MCA menyokong hak untuk berhimpun secara aman, namun menolak sebarang bentuk kekerasan.

Artikel Berkaitan:

“Walaupun kerajaan perlu menghormati hak perlembagaan rakyat untuk berhimpun secara aman dan menyuarakan pandangan, penting untuk setiap individu mematuhi batasan undang-undang bagi mengelakkan sebarang perlakuan yang mencetuskan keganasan.

“Penganjur dan peserta himpunan awam mempunyai tanggungjawab untuk memastikan tindakan mereka kekal dalam kerangka undang-undang dan menjauhi sebarang bentuk provokasi atau keganasan.

“Amat menyedihkan apabila penjawat awam, terutamanya anggota polis, diserang ketika menjalankan tugas. Tindakan ini tidak bertamadun dan sama sekali tidak boleh diterima,” tegasnya.

Beliau turut menyarankan agar kerajaan memperkukuh komunikasi dengan semua pihak berkepentingan dalam pembentukan dasar serta perancangan pembangunan bandar, khususnya sepanjang proses penggubalan dan pelaksanaan PSB.

Penubuhan saluran dialog yang lebih telus dan inklusif menurutnya adalah kunci untuk membina kepercayaan dan persefahaman.

 

 

Ringkasan AI

  • MCA menggesa kerajaan menyemak semula RUU Pembaharuan Semula Bandar susulan kekecohan di Kampung Sungai Baru
  • Insiden cedera pegawai polis menunjukkan kelemahan dalam dasar pembangunan semula bandar
  • Penting melindungi hak penduduk dan kepentingan ekonomi komuniti dalam pembangunan semula bandar
  • Kerajaan perlu memastikan komunikasi dan perundingan yang mencukupi dengan rakyat
  • MCA menekankan pentingnya berhimpun secara aman dan menolak sebarang bentuk kekerasan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!