'Tiada pampasan RM3.8 juta, mana hitam putih?'

KUALA LUMPUR - Jawatankuasa Hak Penduduk Kampung Sungai Baru menafikan dakwaan bahawa pemilik rumah di sini menerima pampasan lumayan hingga RM3.8 juta.
Pengerusinya, Zainab Alias berkata, rumah flat lapan blok telah dirobohkan biarpun bukan semua pemilik bersetuju sedangkan persetujuan 100 peratus pemilik diperlukan kalau mengikut undang-undang.
"Tapi semua dilanggar dan flat telah dirobohkan, jadi untuk bicara rayuan akan berlaku pada 26 Februari 2026, tapi tengok flat semua telah dirobohkan.
"Jadi, pampasan yang dapat ialah RM448/kaki persegi termasuk tanah dan bangunan. Mereka janji kata rumah teres tengah tiga pintu, rumah teres bahagian tepi ikut keluasan lima, enam ke tujuh pintu," katanya dalam sidang akhbar di sini pada Jumaat.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Pengerusi Kebajikan Pemilik Hartanah Kampung Sungai Baru, Sanita Yunus yang mendakwa pampasan diberikan pihak pemaju adalah sangat munasabah dan tinggi hingga ada yang mencecah RM3.8 juta bagi satu unit rumah teres.
Bagaimanapun Zainab yang mempunyai rumah dua tingkat dengan keluasan hampir 4,000 kaki persegi mendakwa perkara tersebut hanya khabar angin sedangkan dirinya tidak mendapat jumlah pampasan sebagaimana yang didakwa.
"Itu 'hearsay' sahaja. Adakah sesiapa rumah teres dapat begitu? Ada hitam putih? Siapa yang mengatakan kami terima RM3.8 juta ada ke fakta? Hitam putih kamu dakwa sebegitu? Sedangkan saya pun tidak dapat RM3.8 juta," tambahnya lagi.
Dalam pada itu Zainab berkata, sebuah rumah telah dibeli di Putrajaya yang mana dia perlu membayar hampir RM1.7 juta.
Bagaimanapun katanya, kawasan tersebut bukan tempat tinggal pilihannya.
"Saya tak nak duduk di Putrajaya. Kampung kelahiran saya di sini. Datuk nenek moyang saya di sini. Apa perlunya saya pindah tempat lain. Ini tanah tumpahnya darah saya. Tali pusat saya tanam di sini. Saya tak pandang duit pemaju bagi," ujarnya.
Ringkasan AI
- Jawatankuasa Hak Penduduk Kampung Sungai Baru menafikan dakwaan pemilik rumah menerima pampasan RM3.8 juta
- Rumah flat lapan blok dirobohkan tanpa persetujuan 100 peratus pemilik
- Pampasan yang diterima adalah RM448/kaki persegi termasuk tanah dan bangunan
- Zainab mendakwa tidak menerima jumlah pampasan RM3.8 juta seperti yang didakwa
- Sebuah rumah dibeli di Putrajaya pada harga RM1.7 juta tapi kawasan itu bukan tempat tinggal pilihan Zainab
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
