Calon SPM ulang kaji di PPS akibat banjir

Roslan bersama isterinya menemani anak mereka, Nur Azwa, mengulang kaji pelajaran di PPS SRA Ijok pada Isnin.
Roslan bersama isterinya menemani anak mereka, Nur Azwa, mengulang kaji pelajaran di PPS SRA Ijok pada Isnin.
A
A
A

KUALA SELANGOR – Seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mungkin terpaksa menduduki peperiksaan penting itu dalam keadaan serba kekurangan di pusat pemindahan sementara (PPS) sekiranya banjir yang melanda kawasan kediamannya tidak surut dalam tempoh terdekat.

Nur Azwa Syarafina Roslan, 17, dijadualkan menduduki peperiksaan SPM bermula 23 November ini, namun kejadian banjir yang berulang di kawasan rumahnya di Batu 7, Ijok di sini dikhuatiri menjejaskan tumpuan dan persiapannya.

Bapanya, Roslan Mohamed, 50, berkata, anak kedua daripada enam beradik itu mungkin berdepan situasi sama seperti abangnya yang pernah menduduki peperiksaan SPM ketika keluarga mereka ditempatkan di PPS akibat banjir kira-kira dua tahun lalu.

"Jika banjir tidak surut dalam tempoh dua minggu ini, kemungkinan Nur Azwa terpaksa belajar dan mengulang kaji pelajaran di PPS, sekali gus berdepan situasi sama seperti abangnya yang menduduki SPM ketika kami berada di PPS dua tahun lalu," katanya ketika ditemui di PPS Sekolah Rendah Agama (SRA) Ijok di sini pada Isnin.

Roslan mengakui keadaan banjir yang berterusan boleh menjejaskan emosi anaknya memandangkan suasana di PPS jauh berbeza berbanding di rumah.

Beliau berkata, kejadian banjir kali ini bukan pengalaman pertama keluarganya kerana kediaman yang dibina selepas membeli tanah di kawasan itu mula dilanda banjir sejak 2019.

Katanya, kejadian kali ini dipercayai sudah memasuki tahun kelapan berturut-turut keluarganya berdepan masalah sama.

Menurutnya, air mula memasuki kawasan rumah pada Khamis lalu sebelum meningkat pada petang Jumaat sehingga menyebabkan halaman dan sebahagian ruang dalam rumah dinaiki air.

"Alhamdulillah, kebanyakan barangan penting dan kelengkapan rumah sempat diselamatkan kerana kami telah membuat persiapan lebih awal.

"Bagaimanapun, air masih belum surut sepenuhnya dan kami bimbang banjir termenung menyebabkan proses untuk berpindah pulang mengambil masa lebih lama," katanya.

Keadaan rumah penduduk di Kampung Batu 7, Ijok di sini yang dinaiki air akibat banjir.
Keadaan rumah penduduk di Kampung Batu 7, Ijok di sini yang dinaiki air akibat banjir.

Sementara itu, penduduk Kampung Batu 7, Ijok, Muba'ana Nor, 68, berkata, dia telah tujuh kali berdepan kejadian banjir sejak 2021 termasuk empat kejadian yang disifatkan sebagai besar.

Katanya, pengalaman berulang itu menyebabkan dia sentiasa bersedia untuk menyelamatkan barangan penting setiap kali hujan lebat dan paras air mula meningkat.

"Kalau hujan berterusan, saya mula mengemas barang kerana tidak mahu perkara sama berulang.

"Kereta Perodua Myvi saya pun pernah ditenggelami air. Sekarang, apa yang boleh diselamatkan akan saya selamatkan dahulu," katanya.

Menurut Muba'ana, dia turut mengusahakan perniagaan makanan sejuk beku yang menghasilkan kira-kira 13 jenis produk, sekali gus perlu memastikan barangan dan peralatan perniagaannya tidak terjejas setiap kali banjir.

Katanya, ada ketikanya dia terpaksa menguruskan rumah seorang diri apabila anak bongsunya keluar bekerja selepas suaminya meninggal dunia lapan tahun lalu.

"Setiap kali hujan lebat dan air mula naik, saya perlu bersiap sedia mengemas serta menyelamatkan barangan penting," katanya.

Sementara itu, Ketua Zon 7 Selangor Utara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Samsol Maarif Saibani berkata, seramai 240 mangsa daripada 64 keluarga masih berlindung di tiga PPS di daerah ini susulan banjir yang melanda beberapa kawasan sejak 4 November lalu.

Menurut beliau, tiga PPS yang masih beroperasi ialah SRA Ijok yang menempatkan 77 mangsa daripada 21 keluarga, Sekolah Kebangsaan (SK) Jaya Setia yang menempatkan 71 mangsa daripada 21 keluarga serta SK Parit Mahang yang menempatkan 92 mangsa daripada 22 keluarga.

Katanya, PPS SK Desa Aman telah ditutup pada jam 12 tengah hari Sabtu lalu selepas keadaan banjir di kawasan berkenaan pulih.

"Berdasarkan pemantauan sehingga jam 10 pagi hari ini, beberapa kawasan yang dilanda banjir di Kuala Selangor masih belum pulih sepenuhnya, malah terdapat lokasi yang menunjukkan trend peningkatan paras air," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!