Akhlak, budaya dalam kemajuan digital

PEMILIHAN Khairul Amin Kamarulzaman atau lebih dikenali sebagai Khairul Aming, sebagai Tokoh Maulidur Rasul 2025 bagi kategori Usahawan/Teknokrat Berjaya baru-baru ini bukan sekadar pengiktirafan terhadap kejayaannya dalam dunia digital dan keusahawanan.
Lebih daripada itu, ia membuktikan bahawa nilai-nilai Islam mampu menjadi panduan kukuh dalam membina kejayaan sering dunia tanpa sempadan.
Di sebalik populariti dan pencapaian luar biasa usahawan digital terkenal itu, prinsip amanah, ihsan, kejujuran, kesederhanaan dan kepedulian sosial tetap menjadi asas kepada pendekatan perniagaan yang diamalkannya.
Beliau juga membuktikan kejayaan tidak memerlukan pengorbanan terhadap prinsip agama, sebaliknya pegangan itu dijadikan sebagai panduan utama dalam membina empayar perniagaan ‘Nyet’.
Secara tidak langsung, beliau telah menunjukkan contoh yang jelas kepada masyarakat bahawa dalam mengejar kemajuan digital, nilai akhlak dan budaya tidak harus diketepikan.
Namun dalam arus kemajuan teknologi dan ledakan media sosial, kita turut menyaksikan kemunculan pelbagai content sampah yang semakin menjajah ruang digital.
Kandungan seumpama ini bukan sahaja membuang masa, bahkan perlahan-lahan merosakkan akhlak masyarakat terutama golongan muda apabila populariti diangkat atas dasar sensasi, bukan ilmu atau nilai.
Lebih membimbangkan, ada yang sanggup menormalisasikan maksiat, merendahkan maruah diri dan memperdagangkan aib demi tanda suka (like) dan tontonan (view).
Budaya digital menjadi acuan membentuk budaya masyarakat melalui tontonan dan perkongsian yang mampu mencipta norma dalam jangka masa panjang.
Sekiranya content sampah terus diberi ruang, dikhuatiri berisiko melahirkan generasi yang hilang arah, cetek minda dan longgar pegangan nilai.
Golongan belia perlu disedarkan bahawa kejayaan tidak menuntut pengorbanan terhadap jati diri, selain budaya luar tidak sepatutnya ditiru semata-mata untuk diterima
Teknologi sebaliknya harus dimanfaatkan sebagai pemudah cara manakala agama menjadi rujukan panduan.
Menjadi pengguna bijak amat penting dengan mencipta kandungan yang membina, mendidik dan mengekalkan nilai budaya timur.
Namun tidak dinafikan dalam era digital serba canggih ini, golongan muda berdepan pelbagai cabaran ekoran akses tanpa had kepada media sosial dan pelbagai platform digital.
Kemudahan menggunakan enjin carian di media sosial, video pendek dan pelbagai platform digital membuka ruang kepada pendedahan tanpa batasan.
Malah cabaran utama ialah keupayaan menapis maklumat kerana masih ramai yang belum cukup matang untuk membezakan antara kandungan membina dan merosakkan.
Sikap suka meniru trend luar tanpa tapisan menjadikan pengguna mudah terpesong daripada norma budaya ketimuran yang menekankan adab, kesopanan dan hormat.
Tekanan untuk viral dan meraih perhatian juga mendorong sesetengah pihak menghasilkan content murahan demi sensasi, walaupun bertentangan dengan nilai murni.
Oleh itu, pendidikan digital, sokongan keluarga dan kawalan kendiri perlu ditekankan alam diri masyarakat.
Semua pihak termasuk ibu bapa, pendidik, masyarakat dan pembuat dasar perlu tampil memainkan peranan dalam memastikan golongan belia celik media dan tidak hanyut dalam arus negatif.
Sudah tiba masanya anak muda memilih untuk menjadi sebahagian jalan penyelesaian dan bukan penyumbang kepada kerosakan budaya.
Sedarkan mereka bahawa kemajuan teknologi seharusnya dimanfaatkan untuk memperkukuh identiti budaya dan bukan meruntuhkannya.
Dengan sikap berhemah, mereka boleh menjadi ejen perubahan yang mengekalkan budaya timur dalam dunia digital moden.
Jadilah pencipta content yang mengangkat nilai, ilmu dan adab agar generasi akan datang tidak kehilangan arah dan masih mengenal akar budaya.
Teladani pencipta kandungan seperti Khairul Aming yang membuktikan masih ada ruang untuk kejayaan yang berpaksikan nilai.
*Diana Azis ialah Wartawan meja am Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
