Khairul Aming cipta rekod baharu, jualan RM1.8 juta tak sampai dua minit

Khairul Aming sekali lagi cipta fenomena apabila jualan produk terbaharu mencapai RM1.8 juta.
Khairul Aming sekali lagi cipta fenomena apabila jualan produk terbaharu mencapai RM1.8 juta.
A
A
A

SHAH ALAM – Usahawan dan pempengaruh media sosial, Khairul Aming sekali lagi mencipta fenomena apabila jualan produk terbaharunya, Rendang Nyet mencecah RM1.8 juta dalam masa tidak sampai dua minit.

Jumlah itu diumumkan secara langsung oleh Khairul Aming ketika sesi siaran langsung pelancaran produknya menerusi platform TikTok bermula jam 9 malam Jumaat.

Kejayaan berkenaan sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan anak muda kelahiran Kelantan itu sebagai ikon usahawan digital yang berjaya menarik perhatian dan sokongan pengguna dengan gaya tersendiri.

Sebelum mencapai angka keseluruhan tersebut, sebanyak RM1.2 juta jualan untuk pek kombo direkodkan hanya dalam tempoh 30 saat selepas jualan dibuka secara rasmi.

Lebih membanggakan, sebanyak 30,000 pek tunggal rendang berjaya dijual dalam masa 48 saat, menjadikan ia antara jualan produk makanan terpantas pernah direkodkan dalam sesi siaran langsung Khairul Aming setakat ini.

Beliau meluahkan rasa syukur atas sambutan luar biasa diterima apabila produk terbaharu dilancarkan itu habis dijual.

"Malam ini, jumlah keseluruhan adalah sebanyak RM1.8 juta.

"Terima kasih banyak-banyak orang baik-baik semua," katanya.

Khairul Amin juga berterima kasih kepada seluruh pasukannya yang telah bertungkus-lumus membangunkan produk tersebut selama ini.

Artikel Berkaitan:

Katanya, mereka telah bekerja tanpa cuti selama setahun bagi memastikan produk yang dihasilkan memenuhi standard dan jangkaan pelanggan.

Menurut beliau, penghantaran produk akan mula dilakukan seawal esok, selari dengan komitmen pasukan beliau dalam memastikan pelanggan menerima pesanan dalam masa yang pantas.

Terdahulu, Khairul Aming turut mencuri perhatian pada malam pelancaran terbaharu itu apabila mengumumkan lima terpantas akan menerima hadiah berupa percutian ke New Zealand bersamanya sebagai penghargaan kepada sokongan pelanggan.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!