Kes Ebit Lew: Tujuh hari analisis data 30,000 gambar dalam pemacu pena - Saksi

TENOM - Seorang saksi dalam perbicaraan kes gangguan seksual membabitkan pendakwah Ebit Irawan Lew atau Ebit Lew, memberitahu Mahkamah Majistret di sini bahawa beliau mengambil masa selama tujuh hari untuk menganalisis lebih 30,000 gambar yang disimpan dalam sebuah pemacu pena.
Juruanalisis Unit Siasatan Jenayah Komputer Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia, Asisten Yip Chang Ching, 45, berkata, tempoh tersebut termasuk dua hari yang diperlukan untuk membuka data asal gambar dalam format raw yang diperoleh daripada sebuah telefon yang terlibat dalam kes tersebut.
"Mengikut permintaan pegawai penyiasat untuk mengeluarkan semua gambar berunsur seksual, saya telah membuat analisis dengan go through atau tengok gambar ke gambar,” katanya ketika menjawab soalan pemeriksaan semula Timbalan Pendakwaraya Nor Azizah Mohamad, di sini pada Khamis.
Perbicaraan yang bermula pada jam 3 petang itu di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani bersama peguam Kamaruddin Mohmad Chinki dan Prem Elmer Ganasan secara dalam talian, berakhir kira-kira jam 5.30 petang.
Chang Ching, yang merupakan saksi kelapan dalam kes itu berkata, proses analisis mengambil masa yang lama kerana data raw hanya boleh dibaca menggunakan perisian khusus, sebelum ia boleh ditukar kepada format yang boleh dibaca.
Beliau turut menjelaskan data yang dianalisisnya itu merupakan data extraction dan laporan yang telah dibuat oleh syarikat LGMS Berhad dan proses analisis yang dijalankannya tidak akan menganggu atau mengubah sebarang maklumat atau data terlibat.
Terdahulu ketika menjawab soalan lain Kamaruddin, saksi memberitahu bahawa gambar yang dilihatnya dalam pemacu pena dan gambar dalam Digital Forensic Investigation Report kelihatan serupa.
Kamaruddin: Boleh saya tanya kepada saksi, adakah anda tahu salinan daripada Laporan Siasatan Forensik Digital, boleh secara fizikal?
Chang Ching: Tidak, hanya dalam format dokumen mudah alih (PDF).
Ebit Lew, 39, berhadapan 11 pertuduhan antaranya mengaibkan kehormatan seorang wanita berumur 40-an dengan menghantar perkataan dan gambar lucah ke nombor telefon mangsa menerusi aplikasi WhatsApp antara Mac dan Jun 2021.
Pendakwah itu didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Perbicaraan bersambung pada 22 hingga 25 Oktober depan. - Bernama
Ringkasan AI
- Seorang saksi meluangkan masa tujuh hari untuk menganalisis lebih 30,000 gambar dalam pemacu pena berkaitan kes gangguan seksual Ebit Lew
- Juruanalisis tersebut memerlukan dua hari untuk membuka data gambar format raw daripada telefon terlibat
- Analisis dilakukan untuk mengeluarkan semua gambar berunsur seksual atas permintaan pegawai penyiasat
- Saksi merupakan juruanalisis dari Unit Siasatan Jenayah Komputer Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia
- Ebit Lew dihadapkan dengan 11 pertuduhan termasuk menghantar perkataan dan gambar lucah, dengan hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
