Kekecohan operasi pengosongan Kampung Sungai Baru tidak sepatutnya berlaku - Zahid

KUALA LUMPUR - Insiden kekecohan ketika operasi pengosongan bangunan di Kampung Sungai Baru di sini tidak sepatutnya berlaku kerana penduduk terjejas telah lama diberikan notis pengosongan, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Sehubungan itu, Ahmad Zahid berkata, beliau akan meminta Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Ghani, yang juga dilantik mengetuai Pasukan Khas UMNO bagi penambahbaikan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB), untuk menguruskan masalah berkenaan dengan segera.
"Walaupun kita telah merancang untuk mengadakan konvensyen mengenai RUU PSB, kita akan tetap mengambil tindakan segera selaras dengan peruntukan dalam sistem perundangan sedia ada,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama di Global Islamic Finance Summit di sini pada Khamis.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Suzilme Affendy Sulaiman dilaporkan cedera di kepala dipercayai terkena balingan batu oleh individu tidak dikenali ketika mengawal keadaan dalam operasi pemotongan bekalan elektrik beberapa rumah di kampung berkenaan.
Video kekecohan yang berlaku antara pasukan keselamatan serta penduduk turut tular di media sosial.
Operasi berkenaan dijalankan susulan arahan mahkamah berhubung proses perobohan struktur rumah di kawasan itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengecam insiden serangan terhadap Sulizmie Affendy, menyifatkannya sebagai perbuatan keji. - Bernama
, kekecohan, pengosongan bangunan, Kampung Sungai Baru, notis pengosongan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
