Kematian Kirk 'detik gelap buat Amerika' - Trump

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, menyampaikan ucapan penuh emosi susulan kematian aktivis konservatif Charlie Kirk, 31, yang ditembak mati ketika berucap di Universiti Utah Valley, Rabu lalu.
Dalam rakaman video empat minit, Trump menyifatkan penembak sebagai 'raksasa' dan menggelar kejadian itu 'detik gelap buat Amerika'.
Beliau menyanjung Kirk sebagai patriot yang memperjuangkan kebebasan, keberanian dan demokrasi.
“Charlie menginspirasi jutaan orang. Beliau seorang patriot yang mendedikasikan hidupnya untuk perdebatan terbuka dan negara yang sangat dicintainya,” kata Trump sambil berjanji pentadbirannya akan memastikan pelaku dibawa ke muka pengadilan.
Trump turut mengingatkan insiden cubaan bunuh terhadapnya di Pennsylvania tahun lalu, mengaitkan pembunuhan Kirk dengan peningkatan keganasan politik di AS.
Menurutnya, retorik kebencian melampau dari pihak lawan politik menyemarakkan budaya ganas.
“Tiba masanya media dan rakyat mengakui bahawa pembunuhan adalah akibat tragis demonisasi berterusan terhadap mereka yang berbeza pandangan,” tegasnya.
Kirk, pengasas bersama Turning Point USA, ditembak dari bumbung ketika sesi soal jawab dengan pelajar dalam siri jelajah “American Comeback Tour”.
Semasa kejadian, isterinya Erika dan dua anaknya dilaporkan hadir melihat beliau berucap di universiti tersebut.
Sejurus kejadian, ribuan hadirin bertempiaran lari sejurus tembakan.
Trump menutup ucapannya dengan janji bahawa legasi Kirk akan kekal.
“Seorang pembunuh cuba membungkam suaranya, tetapi gagal. Mesej dan perjuangannya akan terus hidup untuk generasi akan datang," tambahnya. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
