Polis buru ahli geng penjenayah maut ditembak mati

Laporan Sinar Harian berkaitan penjenayah maut ditembak di Bukit Jambul. Gambar kecil: Hamzah
Laporan Sinar Harian berkaitan penjenayah maut ditembak di Bukit Jambul. Gambar kecil: Hamzah
A
A
A

GEORGE TOWN - Polis telah mengenal pasti beberapa lagi individu yang dipercayai terlibat dengan sindiket jenayah selepas seorang lelaki tempatan ditembak mati dalam kejadian di Jalan Lintang Bukit Jambul, Bayan Lepas, awal pagi Khamis.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, siasatan mendapati lelaki berusia 35 tahun itu merupakan ketua kepada kumpulan penjenayah yang aktif melakukan pelbagai kegiatan jenayah berat di negeri ini.

“Walaupun kes ini dianggap selesai dengan kematian suspek utama, usaha memburu saki-baki ahli sindiket yang masih bebas sedang giat dijalankan melalui risikan pihak polis,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang, di sini, pada Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.05 pagi Khamis, seorang lelaki yang mempunyai 34 rekod jenayah lampau maut selepas berbalas tembakan dengan polis.

Ketika pasukan polis menghampiri kenderaan suspek dan memperkenalkan diri sebagai anggota polis, suspek secara tiba-tiba keluar dari kereta dan melepaskan tembakan ke arah kenderaan polis.

Pasukan polis kemudian melepaskan beberapa das tembakan bagi mempertahankan diri dan hasil pemeriksaan lanjut, suspek disahkan maut di tempat kejadian.

Hasil pemeriksaan di lokasi turut menemukan beberapa barangan antaranya sepucuk pistol jenis FNP-45 bersama tiga butir peluru, sebatang besi, dua batang kayu rotan, dua bilah parang serta dadah.

Siasatan mendapati suspek merupakan warganegara Malaysia berusia 35 tahun.

Artikel Berkaitan:

Polis turut menahan tujuh lelaki dan seorang wanita dalam beberapa penahanan berasingan. Kesemua mereka merupakan warga tempatan yang disyaki terlibat dengan suspek dalam aktiviti jenayah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!