Kes buli tidak boleh 'disapu bawah karpet' - Fadhlina

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengulangi pendiriannya bahawa semua kes buli di sekolah tidak boleh sama sekali 'disapu di bawah karpet' dan wajib dilaporkan untuk tindakan segera.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, setiap pentadbir dan guru mempunyai tanggungjawab penuh untuk memastikan aduan yang diterima disiasat dengan telus tanpa sebarang kompromi.
“Semua sekolah ada tanggungjawab besar dalam menangani isu buli.
"Ia bukan sekadar peraturan semata-mata, tetapi satu tanggungjawab moral yang berasaskan kepada pendidikan itu sendiri.
"Kita tidak boleh kompromi dalam soal ini,” katanya ketika sidang akhbar selesai sesi libat urus Tribunal Antibuli di sini pada Khamis.
Menurutnya, KPM telah melakukan reformasi sistem aduan bagi memberi ruang kepada murid melapor tanpa mendedahkan identiti sebenar, sekali gus menghapuskan ketakutan untuk tampil bersuara.
“Kami mahu memberi jaminan bahawa setiap laporan akan disiasat. Jangan takut untuk melapor, kerana KPM akan ambil tanggungjawab penuh,” ujarnya.
Dalam masa sama, Fadhlina berkata, KPM memperkukuh pendidikan karakter yang menjadi sebahagian daripada Agenda Penerusan Pendidikan dalam Kurikulum Persekolahan 2027.
“Kita mahu anak-anak dibentuk dengan nilai moral, adab dan integriti. Pendidikan karakter ini adalah asas dalam kurikulum dan kokurikulum dengan guru diberi peranan penting untuk memastikan ia menjadi tumpuan.
Pembangunan karakter inilah benteng awal untuk mencegah budaya buli,” jelasnya.
Ringkasan AI
- Kementerian Pendidikan Malaysia menegaskan semua kes buli di sekolah mesti dilaporkan
- Setiap pentadbir dan guru bertanggungjawab untuk menyiasat aduan buli dengan telus
- Reformasi sistem aduan dibuat untuk membolehkan murid melapor tanpa dedahkan identiti
- KPM menjamin penyiasatan setiap laporan buli yang diterima
- Pendidikan karakter dibangunkan sebagai bahagian daripada kurikulum untuk mencegah buli
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

