Kes buli di sekolah rendah membimbangkan

Peningkatan mendadak kes buli di sekolah rendah yang melonjak sebanyak 79 peratus dalam tempoh 2023 hingga 2024 menimbulkan kebimbangan serius apabila melibatkan kanak-kanak seawal usia tujuh tahun.
Peningkatan mendadak kes buli di sekolah rendah yang melonjak sebanyak 79 peratus dalam tempoh 2023 hingga 2024 menimbulkan kebimbangan serius apabila melibatkan kanak-kanak seawal usia tujuh tahun.
A
A
A

PUTRAJAYA – Peningkatan mendadak kes buli di sekolah rendah yang melonjak sebanyak 79 peratus dalam tempoh 2023 hingga 2024 menimbulkan kebimbangan serius apabila melibatkan kanak-kanak seawal usia tujuh tahun.

Pesuruhjaya Kanak-Kanak, Dr Farah Nini Dusuki berkata, trend itu amat merisaukan kerana selama ini tumpuan lebih banyak diberikan kepada pelajar sekolah menengah yang merekodkan 76.1 peratus insiden berbanding hanya 26.9 peratus di sekolah rendah.

Statistik Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM) KPM menunjukkan sebanyak 1,110 kes buli direkodkan pada tahun 2023 dan 1,990 kes bagi tahun lalu di sekolah rendah.

“Data terbaharu jelas menunjukkan lonjakan ketara di kalangan murid sekolah rendah.

"Kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 tahun sepatutnya berada dalam fasa awal perkembangan, tetapi kini sudah terbabit sama ada sebagai mangsa mahupun pembuli,” katanya ketika sesi pembentangan Town Hall Anti Buli di sini pada Khamis.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said; Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.

Data tersebut juga menunjukkan trend meningkat dalam tempoh tiga tahun sejak 2022 dengan lebih 70 peratus daripadanya dilaporkan berlaku di sekolah menengah.

Bagi tahun 2022, sebanyak 3,064 kes dilaporkan diikuti tahun 2023 (5,418 kes) dan 5,689 kes tahun lalu.

Farah Nini turut merujuk dapatan Tinjauan Kesihatan dan Mobiliti Nasional (NHMS) 2022 yang dilaksanakan Kementerian Kesihatan bersama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) ke atas 33,523 pelajar berusia 13 hingga 17 tahun.

Artikel Berkaitan:

Kajian itu mendedahkan kadar prevalens buli mencecah 85.6 peratus dengan bentuk ejekan rupa dan kata-kata kesat paling banyak dilaporkan.

Selain itu, kajian tempatan lain turut memberi gambaran serius antaranya, 18.3 peratus pelajar sekolah menengah yang pernah dibuli dilaporkan mengalami kemurungan, manakala satu lagi kajian menunjukkan 79.1 peratus murid terlibat dalam buli sama ada sebagai mangsa, pembuli atau kedua-duanya sekali.

“Data ini membuktikan buli bukan sahaja menjejaskan emosi, malah kanak-kanak yang pernah menjadi mangsa berisiko tiga kali ganda mengalami kemurungan berbanding mereka yang tidak pernah dibuli,” tegasnya.

Mengulas lanjut, Farah Nini menegaskan keadaan tersebut menjadi amaran awal bahawa isu buli kini merentasi peringkat umur dan perlu ditangani segera di sekolah rendah sebelum ia terus membarah di peringkat lebih tinggi.

“Setiap tahun kes meningkat, kesannya pula semakin berat.

"Jika ia tidak dibendung dengan akta khusus dan mekanisme yang jelas, kita bakal berdepan implikasi besar terhadap masa depan anak-anak,” ujarnya.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!