Kes serangan haiwan tidak boleh dikompromi

BERMAIN basikal seperti biasa, tiba-tiba segalanya berubah. Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun cedera parah akibat digigit seekor anjing di kawasan perumahan Batu 9, Cheras beberapa hari lalu.
Rakaman tular menunjukkan mangsa bergelut dengan anjing itu sebelum jiran bertindak menyelamatkannya. Mangsa kini dirawat di wad kanak-kanak Hospital Kajang dan keadaannya dilaporkan stabil.
Anjing yang dipercayai tiada pemilik ditahan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) untuk siasatan di bawah Seksyen 289 Kanun Keseksaan dan Seksyen 41(1) Akta Binatang 1953.
Ini bukan insiden pertama dan ia menambahkan lagi senarai panjang kes serangan haiwan yang membimbangkan. Pada Julai lalu, seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun di Puchong cedera selepas digigit anjing baka German Shepherd ketika pulang dari taman permainan bersama neneknya. Pemilik anjing, seorang wanita berusia 60 tahun, ditahan kerana tidak memiliki lesen sah.
Insiden lebih tragis berlaku di Semporna, Sabah pada penghujung tahun lalu apabila seorang kanak-kanak berusia dua tahun tujuh bulan maut selepas diserang sekumpulan anjing liar. Rakaman tular kejadian itu menimbulkan kebimbangan serius mengenai keselamatan awam.
Di Kedah pula, dua ekor anjing baka Rottweiler terlepas dari rumah pemilik di Kuala Ketil sebelum menyerang beberapa penduduk, termasuk seorang wanita yang cedera parah di kepala. Susulan kejadian itu, anjing terbabit ditidurkan dan pemiliknya dikenakan tindakan undang-undang.
Pakar undang-undang menjelaskan, pemilik haiwan peliharaan tidak boleh lepas tangan kerana undang-undang jelas meletakkan tanggungjawab kepada mereka.
Di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan Seksyen 289 Kanun Keseksaan, pemilik boleh dikenakan denda atau penjara jika cuai sehingga haiwan mencederakan orang awam.
Selain itu, pihak berkuasa tempatan turut menetapkan syarat lesen bagi pemilikan anjing.
Bagi kes melibatkan haiwan liar, tanggungjawab terletak kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) yang boleh menangkap atau memindahkan haiwan berbahaya daripada kawasan penempatan penduduk.
Pakar keselamatan awam turut menyarankan agar masyarakat tidak memprovokasi haiwan sama ada anjing jiran mahupun haiwan liar. Jika ternampak haiwan berkeliaran tanpa kawalan, orang ramai digalakkan melaporkan kepada pihak berkuasa tempatan atau Perhilitan.
Bagi pemilik haiwan, latihan asas, kawalan menggunakan tali atau pagar serta pematuhan lesen adalah wajib. Pengabaian terhadap kebajikan haiwan boleh menyebabkan haiwan menjadi agresif, sekali gus berisiko menyerang sesiapa sahaja.
Malah, langkah pencegahan kecil juga boleh membantu dalam mengatasi insiden membabitkan haiwan seperti menutup tong sampah dengan baik agar tidak menarik perhatian monyet atau mengelakkan memberi makanan sembarangan kepada haiwan liar.
Kes serangan haiwan sama ada peliharaan atau liar kini menjadi isu yang perlu ditangani lebih serius. Kanak-kanak yang cedera di Kajang hanyalah satu daripada banyak insiden yang mencetuskan kebimbangan masyarakat.
Hakikatnya, serangan haiwan bukan hanya soal kecuaian atau kekurangan kawalan tetapi juga soal empati. Ramai mangsa terpaksa menanggung trauma dan kecederaan seumur hidup, sementara pemilik pula berdepan rasa bersalah apabila haiwan kesayangan mereka menjadi punca tragedi.
Serangan haiwan, sama ada peliharaan atau liar adalah isu keselamatan awam yang memerlukan perhatian serius daripada semua pihak.
Pemilik perlu lebih berdisiplin, masyarakat mesti berwaspada dan pihak berkuasa harus memperkukuh penguatkuasaan serta pendidikan awam. Haiwan wajar dijaga dengan kasih sayang, namun keselamatan manusia juga tidak boleh dikompromi.
Begitu pun, dengan tanggungjawab bersama, tragedi boleh dielakkan, nyawa dapat diselamatkan dan hubungan manusia serta haiwan dapat terus dipelihara dalam keadaan seimbang.
* Zubir Sulaiman ialah Sub Editor Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
