Dasar Perumahan Negeri Perak ditambah baik

IPOH - Penambahbaikan Dasar Perumahan Negeri Perak 2.0 yang akan diperkenalkan kerajaan negeri disifatkan sebagai inklusif dan perlu dipatuhi oleh pemain industri perumahan.
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching berkata, antara perkara yang akan ditambahbaik adalah penetapan peratusan Rumah Perakku serta kawalan perancangan perumahan bagi sesuatu skim pembangunan.
"Penambahbaikan ini dijangka sedikit sebanyak akan dapat membantu meningkatkan tawaran rumah mampu milik untuk dimiliki untuk rakyat Perak.
"Kerajaan Negeri melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) akan menambah baik spesifikasi Rumah Perakku supaya harga yang ditawarkan adalah setara dengan spesifikasi yang disediakan.
"Langkah ini bukan sahaja menjadikan rumah lebih mampu dimiliki oleh rakyat, malah turut memastikan pemaju berupaya melaksanakan pembinaan tanpa menanggung bebanan kos yang berlebihan," katanya.
Sandrea menjawab soalan lisan Wong Chai Yi (PH - Simpang Pulai) pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Khamis.
Tambah beliau, pihaknya turut memberi penekanan kepada pelbagai aspek kawalan dan pengurusan perumahan seperti pindah milik rumah kos rendah dan sederhana, kawalan pemilikan Rumah Perakku, serta tapisan ke atas permohonan program Skim Sewa Perak Sejahtera (SSPS) dan Program Perumahan Rakyat (PPR).
"Langkah ini bertujuan memastikan proses pemilikan atau penyewaan lebih telus dan adil, seterusnya memperluaskan akses rakyat kepada rumah untuk dihuni.
"Selain itu, penawaran dan pengiklanan Rumah Perakku serta lot Kuota Bumiputera turut diperkukuh agar capaian maklumat lebih berintegriti," katanya.
Dalam perkembangan sama, Sandrea berkata, projek PPR baharu masing-masing di Teluk Intan, Tambun dan Lenggong itu telah diluluskan dan sedang menunggu fasa pelaksanaan.
"Walaupun tiga PPR baharu yang diluluskan dan akan dibina, kerajaan negeri juga dalam proses untuk memantau dan menilai kwasan-kawasan yang ada keperluan.
"Kita memohon PPR baharu supaya permohonan itu boleh sampai kepada kerajaan Persekutuan untuk permohonan seterusnya," katanya ketika menjawa soalan tambahan Datuk Zainol Fadzi Paharudin (PN- Sungai Manik).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
