Matrikulasi tidak wajar dimansuh, hanya perlu ditambah baik - AMK

IPOH - Angkatan Muda Keadilan (AMK) menegaskan bahawa sistem matrikulasi sedia ada tidak wajar dimansuhkan sebaliknya hanya perlu ditambah baik mengikut keperluan semasa.
Ketua AMK, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, kerajaan masih perlu mengekalkan sistem berkenaan kerana ia mempunyai fungsi tersendiri sama seperti Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).
“Bagi pandangan saya, mahupun AMK, sistem yang ada hari ini tidak ada masalah. STPM ada fungsinya, matrikulasi juga ada peranan dan tanggungjawab tersendiri.
“Kalau ada penambahbaikan yang perlu dibuat, ia boleh dilakukan mengikut keperluan semasa, tetapi pada masa ini saya tidak fikir matrikulasi wajar dimansuhkan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Kita Anak Malaysia (KAMI) 2025 di pusat beli-belah Mydin Meru Raya di sini pada Sabtu.
Menurut Muhammad Kamil, kerajaan pastinya terbuka terhadap setiap cadangan penambahbaikan sistem pendidikan negara dan percaya isu berkenaan akan dibincangkan secara teliti oleh Kementerian Pendidikan serta Kementerian Pendidikan Tinggi.
“Cadangan (pemansuhan) itu daripada sebahagian pelajar dan pertubuhan mahasiswa. Saya fikir tidak ada masalah untuk mana-mana pihak memberikan cadangan.
“Cuma bagi saya, apa yang ada ini, kita perlu teruskan,” katanya.
Pada Jumaat, Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (UMANY) dilaporkan menuntut supaya program matrikulasi dimansuhkan dan STPM dijadikan piawaian tunggal bagi kemasukan jurusan ijazah di universiti awam.
Presiden UMANY, Tang Yi Ze berpendapat, silibus STPM terbukti lebih baik, lebih mencabar serta diiktiraf di peringkat antarabangsa termasuk oleh universiti ternama dunia.
Dalam pada itu, mengulas isu Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur, Muhammad Kamil yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan berkata, tindakan pihak tertentu mengaitkan isu tersebut dengan kegagalan kerajaan adalah tidak bertanggungjawab.
Beliau menjelaskan, pewartaan tanah kawasan berkenaan dibuat pada tahun 2021 ketika kerajaan diterajui bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang turut melibatkan Pas, Bersatu dan Barisan Nasional (BN) sebagai sebahagian daripada kerajaan ketika itu.
“Apa yang berlaku di Kampung Sungai Baru ini adalah urusan pemaju yang melaksanakan perintah dikeluarkan mahkamah. Ia tidak ada kena mengena dengan kerajaan.
“Jadi mengaitkan seolah-olah kerajaan gagal urus hal ini hanyalah cubaan membangkitkan sentimen politik kebencian, khususnya dalam kalangan masyarakat Melayu,” katanya.
Beliau menegaskan, tindakan sesetengah pihak termasuk mengugut untuk membunuh Perdana Menteri sebagai reaksi terhadap isu berkenaan adalah satu bentuk politik ekstrem yang harus ditolak.
“Negara kita tidak boleh mengizinkan mana-mana pihak menyemai benih kebencian kaum dan agama dengan mengambil kesempatan dalam sesuatu krisis. Politik sebegini mesti kita tentang,” ujarnya.
Ringkasan AI
- AMK Tegas Matrikulasi Tidak Wajar Dimansuh, Hanya Perlu Ditambah Baik
- AMK berpendapat sistem matrikulasi sedia ada tidak harus dimansuhkan tetapi perlu ditambah baik
- Ketua AMK, Muhammad Kamil Abdul Munim menyatakan sistem matrikulasi memiliki peranan penting seperti STPM dan tidak perlu dimansuhkan
- Pemansuhan program matrikulasi dituntut oleh Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (UMANY) dengan alasan silibus STPM lebih baik dan diiktiraf secara antarabangsa
- Muhammad Kamil meyakini kerajaan terbuka terhadap cadangan penambahbaikan sistem pendidikan dan isu ini akan dibincangkan oleh Kementerian Pendidikan serta Kementerian Pendidikan Tinggi
- Muhammad Kamil juga menanggapi isu Kampung Sungai Baru, menegaskan ia adalah urusan pemaju dan bukan kegagalan kerajaan, mengkritik tindakan mengaitkan masalah ini dengan politik
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

