Seorang lagi pegawai wanita ditahan terlibat sindiket 'counter setting'

Suspek yang bertugas di KLIA2 ditahan ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Kuala Lumpur.
Suspek yang bertugas di KLIA2 ditahan ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Kuala Lumpur.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang lagi pegawai penguat kuasa wanita ditahan pada Rabu dipercayai terlibat dalam sindiket 'counter setting' bagi melepaskan warga asing masuk ke negara ini tanpa melalui prosedur sah.

Suspek berusia lingkungan 40-an itu direman lima hari sehingga 15 September selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada Khamis.

Majistret Nurul A’in Faqihah Mohd Yusof membenarkan perintah reman tersebut.

Sumber berkata, suspek yang bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 (KLIA2) ditahan ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Kuala Lumpur kira-kira jam 10 malam.

"Suspek dipercayai bersekongkol dengan sindiket counter setting dan menerima rasuah sebagai balasan untuk memudahkan kemasukan warga asing.

"Tangkapan ini merupakan susulan Op Rentas yang dijalankan serentak di empat negeri oleh Bahagian Perisikan SPRM sebelum ini," katanya pada Khamis.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Saiful Ezral Arifin ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009," katanya.

Media sebelum ini melaporkan seramai 30 individu ditahan dalam Op Rentas dengan 27 daripada mereka direman antara empat hingga tujuh hari bermula Rabu.

Artikel Berkaitan:

Daripada jumlah itu, 18 merupakan pegawai agensi penguat kuasa, lima pemilik syarikat dan tiga individu terdiri daripada orang awam.

SPRM dalam operasi sama turut menyita pelbagai aset termasuk kereta, motosikal, barangan kemas, kepingan emas, peranti telekomunikasi, beg tangan serta jam tangan.

Selain itu, wang tunai lebih RM200,000 turut dirampas, manakala 57 akaun perbankan melibatkan 48 akaun individu dan sembilan akaun syarikat dibekukan dengan nilai keseluruhan lebih RM2.7 juta.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!