Tuntutan '17 + 8'

AMAT mudah untuk menyakiti hati rakyat. Satu kenyataan. Satu frasa. Malah satu kata. Bintang cemerlang Parti Nasdem, Ahmad Shahroni menganggap mereka yang mahu Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) dibubarkan sebagai ‘orang tertolol di dunia.’
Kenyataan itu membetik kemarahan dan dianggap menjadi punca rusuhan paling besar dalam sejarah Indonesia sejak Kebangkitan Reformasi 1998.
Purbaya Yudhi Sadewa membuat kenyataan yang dianggap melukakan hati pendemo dan rakyat pada hari beliau dilantik Menteri Kewangan Indonesia menggantikan Sri Mulyani Indrawati.
Beliau menyebut bahawa tuntutan ‘17 perkara campur 8’ (17+8) itu datangnya dari ‘sebahagian kecil rakyat’. Tambahnya lagi (saya kutip petikan langsung bagi mengelak kekeliruan dan salah tafsir), “Once saya ciptakan pertumbuhan ekonomi enam persen, tujuh persen, itu akan hilang secara otomatis. Mereka akan sibuk cari kerja dan makan enak dibandingkan mendemo.”
Kenyataan itu mendapat reaksi keras dan negatif. Beliau terus meminta maaf keesokan harinya.
Para pelajar sudah membuat kenyataan bahawa mereka akan terus mengadakan demonstrasi sehingga tuntutan ‘17+8’ itu dipenuhi. Demikian juga para pekerja dan pelbagai badan sivil dan NGO. Mereka mewujudkan badan memantau tuntutan itu selain menetapkan deadline.
Nampaknya Presiden Prabowo Subianto terpaksa bekerja keras untuk menunjukkan bahawa beliau mengambil serius pandangan rakyat terbanyak. Beliau telah menggerakkan parti-parti utama untuk bertindak ke atas mereka yang dianggap menyakiti hati rakyat.
DPR sendiri sudah mengumumkan beberapa langkah segera untuk memenuhi tuntutan itu. Hujah bahawa ‘sebenarnya kita telah melakukan ini dan itu’ tidak lagi diterima pakai. Prabowo sendiri tahu bahawa ada masalah besar daripada segi komunikasi di antara pemerintah dengan rakyat. Juga prestasi para menterinya yang ramai itu.
Prabowo telah menggugurkan lima orang menteri dari Kabinetnya. Di antara mereka adalah Sri Mulyani Indrawati, Menteri Kewangan paling lama dalam sejarah negara itu. Sri Mulyani pernah berkhidmat dengan Presiden Susilo Banbang Yudhoyono (SBY) sebelum beliau ke Bank Dunia. Pada tahun 2016 beliau dilantik Menteri Kewangan sekali lagi oleh Presiden Joko Widodo (Jokowi) dan terus memegang jawatan itu sewaktu Prabowo mengambil alih pemerintahan Oktober tahun lalu.
Sri Mulyani sentiasa dikagumi kerana kemampuannya. Bagaimanapun terlalu lama pada satu-satu jawatan menimbulkan masalahnya yang tersendiri. Beliau malah dianggap salah satu punca keresahan rakyat kerana dasar-dasar ekonomi dan fiskalnya.
Langkah awal
Banyak yang menganggap bahawa ini langkah awal Prabowo. Beberapa orang menteri memang ternyata bermasalah. Mantan Menteri Koperasi, Budi Arie Setiadi yang sebelum ini bertanggungjawab ke atas kementerian komunikasi dikaitkan dengan skandal judi di talian (judol) membabitkan anak buahnya. Menteri Perlindungan Pekerja dan Migran, Abdul Kadir Karding baru-baru ini dilihat bermain domino dengan seseorang yang pernah didakwa dalam kes pembalakan haram.
Anehnya Menteri Kehutanan, Raja Juli Antoni yang turut terlihat dalam foto itu terlepas dari penyingkiran. Kementerian Kehutanan membawa kes Aziz Wellang ke tengah tetapi Raja Juli Antoni mendakwa tidak kenal tokoh kontroversi itu.
Menteri Koordinator Politik dan Keamanan, Budi Gunawan memang sudah diketepikan oleh Prabowo sejak sekian lama. Seorang lagi menteri yang dibuang oleh Prabowo adalah Dito Ariotdjo, Menteri Pemuda dan Olahraga.
Apakah dengan penyingkiran menteri-menteri ini Prabowo menghantar mesej bahawa beliau sedang memutuskan hubungannya dengan orang yang didakwa mentor politiknya, Jokowi? Sekurang-kurang tiga orang daripada mereka dianggap ‘orang Jokowi’ dalam Kabinetnya. Ternyata sejak memerintah Prabowo dikesali kerana masih mempertahankan dasar-dasar Jokowi yang tidak popular selain mengekalkan sekian banyak menteri dan pimpinan polis, tentera, Peguam Negara dan Komisi Pembanterasan Korupsi (KPK) yang dilantik oleh Jokowi.
Kesejahteraan rakyat
Masalah paling besar bagi Prabowo adalah untuk memastikan kesejahteraan rakyat. Itu sebahagian daripada janji-janji politik beliau. Beliau sendiri pernah menulis buku tentang 'paradoks Indonesia' yang menggambarkan negara maju dan kaya tetapi rakyatnya mundur. Indonesia punya potensi luar biasa bukan sahaja kerana jumlah penduduk (180 juta orang) tetapi sumber daya alam yang kaya.
Tetapi isu rasuah tidak kecil dan Prabowo telah menyatakan pendirian tegas untuk membasminya. Paling akhir mantan Menteri Pendidikan, yang merupakan tokoh usahawan muda yang membanggakan, Nadiem Makarim telah menjadi orang yang disyaki terbabit rasuah. Sebelum itu seorang timbalan menteri, Immanuel Ebenezer disyaki terbabit rasuah.
Apakah ini bukti betapa seriusnya Prabowo untuk mengejar perasuah sehingga ke Antartika? Isu lebih besar bagi Prabowo ialah ekonomi. Kerajaannya memberikan gambaran keadaan ekonomi stabil, mantap dengan pertumbuhan memberangsangkan berserta bursa aktif, pengurangan pengangguran dan kadar kemiskinan ditangani dengan baik.
Kenyataannya jikalau benar semua itu, kesannya tidak mengalir ke bawah. Banyak syarikat besar tutup menyebabkan ribuan hilang kerja. Berdasarkan data Bank Dunia terbaru, kadar kemiskinan Indonesia terburuk sejak merdeka. Rakyat berdepan harga barang keperluan meningkat. Pada waktu sama, pimpinan politik memperlihatkan gaya hidup luar biasa mewah dan mendapat elaun dan gaji melampau.
Banyak negara membangun menghadapi krisis perbezaan di antara harapan rakyat dan perisytiharan negara. Ahli ekonomi melabelkannya chilean economic paradox. Ini ada kaitannya dengan negara Chile yang pertumbuhan ekonominya terbaik di negara Amerika Selatan, begitu juga kerancakan aktiviti ekonomi dan bursanya.
Tetapi ‘kemakmuran’ itu tidak turun atau menitis pada rakyat. Perbezaan atau kontradiksi di antara kejayaan ekonomi pada permukaan tetapi secara realitinya terjadi ketidakseimbangan pendapatan, kemiskinan yang meluas dan keresahan sosial.
Inilah model ketidakseimbangan yang patut dipelajari banyak negara lain. Inilah model kejayaan ekonomi bersarang masalah ketidaksamaraatan yang selalu dijajakan oleh pemerintah. Inilah yang menyebabkan pemimpin mudah dikelabui oleh mitos kejayaan mereka sendiri, kejayaan yang hanya buih yang boleh pecah bila-bila. Inilah yang berlaku pada Indonesia. Dan boleh berlaku pada kita juga. Maka itu tuntutan ‘18+7’ bagi rakyat Indonesia itu sepatutnya membuka mata semua.
* Tan Sri Johan Jaaffar ialah Tokoh Wartawan Negara. Beliau banyak menulis tentang sastera, budaya dan politik Indonesia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
