'Mereka rancang mahu bertunang dalam masa terdekat' – Bapa

Khamis menunjukkan gambar anaknya, Allahyarham Nurul Nur Syamira semasa ditemui di Jabatan Forensik HSB Alor Setar pada Jumaat.
Khamis menunjukkan gambar anaknya, Allahyarham Nurul Nur Syamira semasa ditemui di Jabatan Forensik HSB Alor Setar pada Jumaat.
A
A
A

ALOR SETAR – “Kalau pak cik izin, saya nak bawa keluarga datang meminang.”

Itu kata-kata Ku Asyraf Ku Shuib, 30, yang masih diingati oleh Khamis Abdul Rahim, 55, sebelum anak perempuannya, Nurul Nur Syamira, 28, ditemukan mati ditikam bersama bakal tunangnya itu dalam tragedi berdarah di Taman Nona, Guar Chempedak pada malam Khamis.

Menurut Khamis, dia merestui hubungan anaknya dengan Ku Asyraf dan mereka merancang untuk bertunang dalam masa terdekat.

“Arwah pernah cakap nak bertunang secepat mungkin. Tapi saya minta mereka tunggu dulu sehingga rumah di Selama, Perak siap dibina,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini pada Jumaat.

Khamis berkata, beliau menerima berita mengejutkan itu kira-kira jam 2 pagi.

“Saya terkejut bila polis beritahu anak saya dah meninggal dunia. Tak sangka langsung perkara macam ini boleh berlaku,” katanya sebak.

Tambahnya, Nurul Nur Syamira merupakan ibu tunggal kepada dua anak lelaki dan telah bercerai lebih setahun lalu namun hubungan dengan bekas suami masih diteruskan demi anak-anak.

Mengulas mengenai suspek, Khamis menyifatkan perbuatan itu sebagai kejam dan tidak berperikemanusiaan.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan seorang lelaki dan wanita ditemukan meninggal dunia dengan kesan tikaman di Taman Nona, Guar Chempedak, pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Ketua Polis Daerah Yan, Superintenden Mohd Hamizi Abdullah berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 9.40 malam.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa lelaki berusia 30 tahun, manakala wanita terbabit berusia 28 tahun.

Ringkasan AI

  • Ku Asyraf Ku Shuib ingin meminang Nurul Nur Syamira dan mendapat restu daripada ayah Nurul
  • Mereka merancang bertunang secepat mungkin tetapi diminta menunggu oleh ayah Nurul
  • Nurul Nur Syamira ditemukan mati bersama bakal tunangnya di Taman Nona, Guar Chempedak
  • Nurul Nur Syamira merupakan ibu tunggal kepada dua anak lelaki dan telah bercerai lebih setahun lalu
  • Seorang lelaki dan wanita ditemukan meninggal dengan kesan tikaman di Taman Nona, Guar Chempedak

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!