Sindiket seludup rokok, arak tumpas dalam Op Lung

PUTRAJAYA - Sindiket penyeludupan rokok dan minuman keras yang dikesan memanipulasi borang pengisytiharan barangan import dan eksport tumpas dalam operasi khas sekitar Lembah Klang pada Selasa.
Operasi dikenali Ops Lung itu dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) turut menahan dua individu termasuk seorang pengarah syarikat berusia 30-an dan pengurus berusia 40-an.
Dua suspek terbabit ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM sebelum direman tiga hari bermula dari Rabu hingga 12 September oleh Majistret Mahkamah Putrajaya, Irza Zulaikha Rohanuddin.
Susulan itu, serbuan turut dijalankan di 15 syarikat serta lima premis perniagaan yang dikenal pasti menjadi gudang simpanan haram.
Hasil serbuan menemui sejumlah besar minuman keras pelbagai jenama dipercayai diseludup tanpa pengisytiharan cukai kepada kerajaan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, nilai cukai yang tidak diisytiharkan setakat ini dianggarkan kira-kira RM500,000 dan angka itu dijangka meningkat selepas siasatan terhadap beberapa lagi premis dijalankan.
"SPRM turut membekukan 14 akaun syarikat serta empat akaun individu di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA), membabitkan jumlah keseluruhan RM2.4 juta.
"Jumlah ini dijangka meningkat susulan pengesanan penglibatan beberapa lagi syarikat dan individu yang dipercayai bersubahat dengan sindiket berkenaan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Katanya, siasatan kini memberi tumpuan kepada elemen rasuah, penipuan melalui perisytiharan palsu serta aktiviti pengubahan wang haram termasuk pengesanan aset berkaitan.
Dalam pada itu, beliau tidak menolak kemungkinan lebih banyak tangkapan dilakukan dalam masa terdekat bagi membongkar keseluruhan rangkaian sindiket itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

