Wanita disangka penculik, gara-gara tegur murid berebut pemadam

MELAKA – [DIKEMAS KINI] Gara-gara menegur rakan kepada anaknya yang berebut pemadam, seorang juruwang wanita berusia 44 tahun dituduh cuba menculik murid Tahun Tiga di sebuah sekolah rendah di Ayer Keroh sejak Isnin lalu.
Hakikatnya, tindakan wanita itu yang hanya bertanyakan tentang pergaduhan kecil murid berusia sembilan tahun dengan anaknya telah disalah anggap sebagai cubaan culik sehingga tular dalam aplikasi WhatsApp kumpulan sekolah sejak Selasa.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, salah faham itu bermula apabila ibu kepada murid lelaki berusia 28 tahun membuat laporan polis pada Isnin kerana bimbang dengan keselamatan anaknya.
“Insiden tersebut kemudiannya tular dalam kumpulan WhatsApp sekolah yang mendakwa kononnya berlaku cubaan culik, sebelum disedari wanita berkenaan yang melihat mesej tular di aplikasi WhatsApp mengenai dirinya.
“Wanita itu kemudian tampil membuat laporan polis pada Selasa dan menjelaskan beliau berada di sekolah untuk mengambil anaknya, dan secara kebetulan berjalan bersama murid terbabit sebelum bertanyakan hal itu," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Christopher berkata, siasatan mendapati salah faham itu timbul apabila pemandu van sekolah memaklumkan kepada ibu murid berkenaan bahawa anaknya dilihat berjalan dengan seorang wanita tidak dikenali di luar kawasan sekolah.
“Juruwang itu memberitahu polis, dia hanya menegur murid berkenaan mengenai pergaduhan kecil dengan anaknya berhubung pemadam.
“Polis mengesahkan tiada unsur jenayah dalam kes ini, malah kedua-dua pihak juga telah hadir ke Balai Polis Ayer Keroh dan bersetuju ia hanyalah salah faham,” jelasnya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan dakwaan cubaan culik tanpa pengesahan pihak berkuasa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

